Doa Memohon Kebaikan di Dunia dan di Akhirat

Firman Allah SWT:

رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٗ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka”.

Surah al-Baqarah: 201

  • Bagi sesetengah kita, mungkin selalu dengar imam membaca doa ini selepas solat. Doanya pendek sahaja, tetapi maknanya besar sekali. Doa yang pendek ini merangkumi segala aspek kehidupan kita.
  • Segala permintaan kita seperti murah rezeki, dapat jodoh yang baik, diberi kesihatan, dapat balas jasa mak ayah, dapat masuk syurga, diberi kekuatan untuk beramal soleh, diampunkan dosa, semua ini terkandung dalam “kebaikan di dunia dan akhirat”.
  • Semoga setiap doa kita dimakbulkan oleh Allah SWT. Amin.

Doa Memohon Perlindungan Daripada Fitnah

Nabi ﷺ pernah meminta perlindungan dengan (membaca):

‏ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ النَّارِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْغِنَى، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْفَقْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ ‏‏‏.‏

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari fitnah Neraka dan siksa Neraka, aku berlindung kepada-Mu dari fitnah kubur dan siksa kubur, aku berlindung kepada-Mu dari fitnah kekayaan dan aku berlindung kepada-Mu dari fitnah kemiskinan dan aku berlindung kepada-Mu dari fitnah Dajjal.”

(Sahih Riwayat al-Bukhari, 6376)

Allah Mengangkat Darjat Orang Pemurah dan Pemaaf

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah ﷺ bersabda:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ

Maksudnya: “Sedekah tidak akan mengurangi harta. Allah pasti menambahkan kemuliaan kepada seorang hamba yang memiliki sifat memaafkan. Tidak ada balasan bagi seseorang yang rendah hati kepada Allah, kecuali Allah mengangkat darjatnya.”

(Sahih Riwayat Muslim, 2588)

Akhlak Seseorang Bergantung Akhlak Temannya

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi ﷺ bersabda:

الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

Maksudnya: “Seorang laki-laki itu bergantung dengan agama teman pergaulannya (sahabat rapat), maka hendaklah salah seorang melihat siapa yang menjadi teman pergaulan.”

(Hasan Sahih Riwayat Abu Daud, 4833)

  • Keperibadian seseorang berkait rapat dengan kebiasaan teman atau sahabat baik yang ia sering bergaul (tingkah lakunya sering dipengaruhi oleh tingkah laku dan gaya hidup teman rapatnya).
  • Setiap ibu bapa perlu meneliti akhlak dan peribadi teman rapat anaknya. Jika teman pergaulan anaknya berakhlak buruk, perlu segera dijauhi.
  • Oleh itu, perbanyakkanlah rakan-rakan yang beriman, sesungguhnya mereka memiliki syafaat di hari kiamat.

Doa Taubat Nabi Adam A.S

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا ظَلَمۡنَآ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمۡ تَغۡفِرۡ لَنَا وَتَرۡحَمۡنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan, kami telah menzalimi diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampunkan dan merahmati kami, pasti kami termasuk dalam golongan orang yang rugi”.

Surah Al-A’raaf: Ayat 23

  • Jika inginkan hidupmu lebih damai, taatilah Ilahi, dekatkan dahimu ke atas sejadah, bicaralah kepadaNya dan curahkan semua isi hatimu. Renungi setiap saat episod hidupmu, sesali kesalahanmu dan bertaubatlah. Sesudah itu pasti hatimu akan lebih lapang dan lebih nyaman.

Ganjaran Membaca Al-Quran

Daripada `Aisyah R.Anha, Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ

Maksudnya: Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan sentiasa taat kepada Allah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.

(Riwayat Muslim, 798)

  • Hadis ini memberikan motivasi kepada umatnya untuk terus belajar dan membaca Al-Quran, walaupun masih merangkak-merangkak.
  • Oleh itu, marilah sama-sama menjadikan Al-Quran sebagai bacaan harian yang wajib kita baca.

Keutamaan Sedekah

Firman Allah SWT:

وَأَنفِقُواْ مِن مَّا رَزَقۡنَٰكُم مِّن قَبۡلِ أَن يَأۡتِيَ أَحَدَكُمُ ٱلۡمَوۡتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوۡلَآ أَخَّرۡتَنِيٓ إِلَىٰٓ أَجَلٖ قَرِيبٖ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ ٱلصَّٰلِحِينَ

Maksudnya: “Dan nafkahkanlah sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum ajal datang kepada salah seorang di antara kamu, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya jika Engkau tangguhkan kematianku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, agar aku dapat bersedekah dan menjadi orang yang soleh.”

Surah Al-Munaafiqoon: 10

  • Allah SWT mengingatkan kita bahawa bersedekahlah selagi kita hidup di dunia, kerana Allah SWT telah khabarkan kepada kita nanti di akhirat ada orang yang meminta tangguh akan kematiannya kerana ingin bersedekah. Hal ini kerana orang tersebut mengetahui manfaat sedekah begitu besar, akan tetapi pengetahuan tersebut tidak lagi berguna kerana sudah berada di alam akhirat.