Hindari Perbuatan Mengumpat

Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَلَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka kerana sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari- cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamun suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka pasti kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.

Surah Al-Hujuraat: Ayat 12

  • Semoga kita semua dihindari dari bahaya lisan. Lidah tidak bertulang namun bahayanya mengundang murka Tuhan.
  • Salah satu dari bahaya lisan ialah mengumpat, sehingga Allah menyamakan orang yang mengumpat seperti memakan daging saudaranya sendiri. Semoga Allah menjauhkan kita darinya.

Perbanyakan Doa Di Dalam Sujud

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

‏ أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Maksudnya: “Sedekat-dekat hamba kepada Tuhannya, ialah di kala hamba itu sedang sujud (di hadapan Allah), oleh itu perbanyakanlah doa dalam sujud.”

Riwayat Muslim (482)

  • Manfaatkanlah sujud dalam setiap solat kita sebaik mungkin dengan memohon ampun kepada Allah SWT.

Doa Di Pagi Hari

Daripada Ummu Salamah, katanya: bahawa Nabi ﷺ apabila Baginda solat Subuh, dan memberi salam, Baginda membaca:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (925)

Dahulukan Yang Kanan

Daripada ‘Aisyah R.Anha berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ فِي شَأْنِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW membiasakan diri mendahulukan yang kanan dalam memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap urusan kehidupan sehariannya.

Sahih Riwayat al-Bukhari (168)

Hidup Terasa Kosong Bila Tidak Membaca Al-Quran

Daripada Ibnu Abbas RA berkata, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ الَّذِي لَيْسَ فِي جَوْفِهِ شَيْءٌ مِنَ الْقُرْآنِ كَالْبَيْتِ الْخَرِبِ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang dalam hatinya tidak ada sesuatu apa pun dari Al-Quran, maka dia adalah seperti rumah yang kosong.”

Riwayat At-Tirmidzi (2913)

Pesan Rasulullah ﷺ Ketika Makan

عَنْ عُمَرَ بْنَ أَبِي سَلَمَةَ يَقُولُ: كُنْتُ غُلاَمًا فِي حَجْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا غُلاَمُ سَمِّ اللَّهَ وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ

Maksudnya: Daripada Umar bin Abi Salamah katanya: Sewaktu aku kecil di bawah jagaan Nabi ﷺ , tanganku sentiasa berlegar sekeliling talam (untuk mendapatkan makanan dan lauk). Nabi ﷺ berkata kepadaku: Wahai anak, sebut nama Allah (baca Bismillah), makan dengan tangan kananmu dan makanlah (ambillah makanan) yang hampir denganmu.

Riwayat Al-Bukhari (5376)

  • Islam mengajar kita agar sentiasa beradab dalam setiap perkara termasuklah ketika makan.
  • Antara adab makan dalam Islam: Memulakan dengan bacaan Basmallah (Bismillah), Makan menggunakan tangan kanan dan Mengambil makanan yang paling hampir dengan kita.

Sebaik-Baik Perhiasan Dunia

Daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi ﷺ pernah bersabda:

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏

Riwayat Muslim (1467)

  • Wahai wanita, tutuplah auratmu dengan pakaian takwa kerana dirimu begitu berharga sehinggakan Allah perintahkan untuk menutupi keindahan diri daripada sebarang pandangan. Bersederhanalah dalam memilih pakaian, rasa malu sebagai perhiasan, menjaga pandangan, menjaga lisan, menjaga kehormatan diri, takut berbuat dosa, menangis kerana Allah dan selalu panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana wanita solehah adalah penghuni yang akan menjadi dambaan syurga.

Bersedekah Ketika Kita Susah

Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah ﷺ: “Wahai Rasulullah, Apakah sedekah yang paling besar pahalanya?” Sabda Rasulullah ﷺ:

أَنْ تَصَدَّقَ وأَنْتَ صَحِيحٌ شَحِيحٌ تَخْشَى الفَقْرَ، وتَأْمُلُ الغِنَى، ولَا تُمْهِلُ حتَّى إذَا بَلَغَتِ الحُلْقُومَ

Maksudnya: “(Sedekah yang paling besar ganjarannya ialah) Engkau bersedekah ketika sihat sedangkan hatimu berasa sangat kedekut (untuk bersedekah), jiwamu sedang takutkan kemiskinan dan engkau bercita-cita mengharapkan kekayaan.”

Riwayat Al-Bukhari (1419)

Saidina Umar Al-Khattab dan Baitulmaqdis

Saidina Umar Al-Khattab menawan BaitulMaqdis pada tahun 637 M selama pemerintahannya sebagai Khalifah kedua Islam. Penaklukan ini merupakan perluasan wilayah Islam setelah kemenangan kaum Muslimin dalam Pertempuran Yarmouk. Ketika itu, Saidina Umar sedang berada di Madinah dan mendapat laporan bahawa tentara Islam telah sampai ke Baitulmaqdis.

Saidina Umar kemudian melakukan perjalanan ke Baitulmaqdis untuk menegakkan perjanjian damai dengan penduduk tempatan. Sebelum memasuki kota, baginda membersihkan dirinya dan memilih berjalan kaki sambil membawa tunggangan keldai, menunjukkan sikap rendah hati dan penuh tawadhu.

Ketika tiba di Baitulmaqdis, Saidina Umar diberikan kunci kota oleh Sophronius, Patriark Bizantium, yang kemudian mengundangnya untuk solat di Gereja Salib. Umar menolak tawaran tersebut, mengatakan bahawa jika dia solat di gereja itu, generasi Muslim berikutnya mungkin menyangka gereja itu sebagai tempat ibadah Islam.

Penaklukan Baitulmaqdis oleh Saidina Umar menjadi salah satu peristiwa  penting dalam sejarah Islam kerana menandakan kemenangan besar kaum Muslimin dan pembukaan kota suci ini. Penaklukan ini juga mencerminkan sikap toleransi dan penghormatan terhadap hak-hak minoriti agama yang diterapkan oleh pemimpin Muslim pada masa itu.

Peringkat-Peringkat Penciptaan Manusia

Firman Allah SWT:

يَخْلُقُكُمْ فِي بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ خَلْقًا مِّن بَعْدِ خَلْقٍ فِي ظُلُمَاتٍ ثَلَاثٍ ۚ

Maksudnya: “Ia menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) dari satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga suasana yang gelap-gelita”.

Surah Az-Zumar: Ayat 6

  • Sesungguhnya, Allah SWT telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian dijadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh. Kemudian Allah SWT ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Allah SWT ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian diciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Allah SWT balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Allah SWT bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya.
  • Tiga suasana yang gelap-gelita itu ialah; kegelapan dalam rahim, kegelapan dalam perut ibu dan kegelapan dalam tembuni.