Hati-Hati Dengan Jarimu

Firman Allah SWT:

وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡـُٔولٗا

Maksudnya: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

Surah Al-Israa: Ayat 36

  • Janganlah kita bercakap atau menulis apa yang tidak pasti atau sahih, kemudian menyebarkannya pula tanpa kepastian agar ianya tidak menjadi satu fitnah dan tuduhan palsu.

Kematian Adalah Satu Kepastian

Firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٞۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمۡ لَا يَسۡتَأۡخِرُونَ سَاعَةٗ وَلَا يَسۡتَقۡدِمُونَ

Maksudnya: Dan bagi setiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan). Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka lewatkan walaupun sesaat dan tidak pula mereka dahulukan.

Surah Al-A’raaf: Ayat 34

  • Cukuplah kematian itu sebagai peringatan. Bersedia atau tidak bersedia, suka atau tidak suka, kita sebagai hamba Allah pasti akan mati.
  • Semoga kita semua dapat meningkatkan amalan agar perjalanan untuk menuju ke alam Barzakh dan akhirat akan menjadi lebih mudah.

Tolong-Menolong

Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ

Maksudnya: Hendaklah kamu tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah pula kamu tolong- menolong dalam perkara yang mendatangkan dosa dan permusuhan serta hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah kerana sesungguhnya azab Allah sangatlah dahsyat.

Surah Al-Ma’idah: Ayat 2

Abu Hurairah Sahabat Setia Nabi Muhammad

Abu Hurairah, yang nama sebenarnya Abdurrahman, memainkan peranan penting dalam tahun-tahun awal Islam sebagai salah seorang pemeluk agama Islam terawal. Beliau menerima Islam melalui Tufayl ibn ‘Amr, ketua kabilahnya, yang memeluk agama itu setelah berjumpa dengan Nabi Muhammad di Mekah.

Perjalanan ke Mekah bersama Tufayl, Abu Hurairah mendapat peluang bertemu dengan Nabi, yang memberinya nama Abdurrahman. Satu anekdot menarik mengenai Abu Hurairah adalah penemuan anak kucing jalanan, memberinya gelaran mesra “Abu Hurairah” (bapa kucing).

Setelah hijrah ke Madinah, Abu Hurairah menjadi penduduk Suffah, tempat dekat masjid Nabi di mana para sahabat tinggal. Beliau mendampingi Nabi Muhammad dengan erat, turut serta dalam berbagai ekspedisi dan perjalanan. Keterlibatannya dalam bidang ketenteraan bermula selepas Perang Khaybar, menandakan kehadirannya dalam peristiwa-peristiwa besar seperti Perang Mu’tah, Fathul Mekah, Perang Hunayn, dan Ekspedisi Tabuk.

Komitmen Abu Hurairah untuk mengekalkan ajaran Nabi terlihat melalui peranannya sebagai perantara hadis, perkataan dan tindakan Nabi Muhammad. Menantunya, Said ibn al-Musayyib,  berkahwin dengan anak perempuan Abu Hurairah untuk mendekati dan belajar daripadanya. Tambahan pula, Hammam ibn Munabbih, seorang murid Abu Hurairah, mengumpulkan koleksi hadis daripadanya dalam Sahifah Hammam ibn Munabbih.

Walaupun maklumat mengenai keluarga Abu Hurairah amat sedikit, diketahui bahawa beliau mempunyai isteri bernama Basra bint Ghazwan. Warisannya kekal melalui sumbangan pentingnya terhadap pemeliharaan ajaran Nabi dan kesetiaannya yang teguh kepada Islam. Perjalanan Abu Hurairah dari seorang pemeluk Islam terawal hingga menjadi sahabat yang dipercayai tetap menjadi bab yang memotivasikan dalam sejarah Islam.

Mendoakan adik-beradik

Ketika berlakunya perselisihan di antara Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS, Nabi Musa AS berdoa agar Allah SWT mengampunkan kesilapannya dan saudaranya iaitu Nabi Harun AS. Nabi Musa berdoa dengan berkata:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلأَخِي وَأَدْخِلْنَا فِي رَحْمَتِك

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa saudaraku dan masukkanlah kami ke dalam syurga.”

Surah al-A’raf: Ayat 151

  • Berapa ramai di kalangan kita yang mendoakan sesama adik-beradik sendiri?
  • Melihatkan kepada doa ini, alangkah baiknya andai sesama adik-beradik itu saling mendoakan kebaikan dan keampunan sesama mereka agar mereka semua sentiasa berada di dalam rahmat Allah.
  • Semoga ikatan kasih sayang adik-beradik kita tidak akan putus dan kekal hingga ke syurga.

Sunnah Meminyakkan Rambut

عَنْ سِمَاكِ، بْنِ حَرْبٍ قَالَ سَمِعْتُ جَابِرَ بْنَ سَمُرَةَ، سُئِلَ عَنْ شَيْبِ النَّبِيِّ، صلى الله عليه وسلم فَقَالَ كَانَ إِذَا دَهَنَ رَأْسَهُ لَمْ يُرَ مِنْهُ شَىْءٌ وَإِذَا لَمْ يَدْهُنْ رُئِيَ مِنْهُ ‏.‏

Dari Simak Bin Harb dia berkata: Aku mendengar Jabir bin Samurah ditanya mengenai rambut uban Nabi ṣallallāhu ‘alayhi wa sallam. Beliau menjawab, “Jika dia meletakkan minyak di atas kepalanya, maka ubannya tidak dapat dilihat, tetapi jika dia tidak meletakkan minyak di atas kepala, maka ubannya boleh dilihat.”

HR. Muslim (2344)

Ramai daripada kita tidak menyedari bahawa memakai minyak rambut merupakan sebahagian daripada sunnah.

Hadis ini menunjukkan bagaimana sunnah Nabi ṣallallāhu ‘alayhi wa sallam merangkumi setiap aspek kehidupan sehingga menggunakan minyak untuk mengelakkan rambut uban daripada kelihatan.

Minyak rambut biasa menambahkan protin rambut, mencegah kekelabuan rambut dan keguguran rambut sambil menggalakkan rambut yang sihat dan berkilau.

Dengan menenangkan saraf dan kapiler di dalam otak, ia mencerdaskan dan menguatkan minda.

Doa Dijauhkan Daripada Hasad Dengki

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا وَلِإِخۡوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلۡإِيمَٰنِ وَلَا تَجۡعَلۡ فِي قُلُوبِنَا غِلّٗا لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٞ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara mara kami yang telah beriman sebelum kami, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan dengki dan dendam terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Belas Kasihan lagi Maha Mengasihani”.

Surah Al-Hashr: Ayat 10

  • Perasaan hasad dengki, cemburu, iri hati melihat kejayaan dan kebahagiaan orang lain merupakan sifat mazmumah yang perlu kita jauhi.
  • Ini merupakan penyakit hati yang acap kali kita tidak sedar ianya menular dan merebak dalam diri.
  • Semoga dengan mengamalkan doa ini, kita dapat menyingkirkan perasaan buruk ini daripada terus bersarang di hati.

Sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara, semuanya dihitung

Firman Allah SWT:

وَوُضِعَ ٱلۡكِتَٰبُ فَتَرَى ٱلۡمُجۡرِمِينَ مُشۡفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَٰوَيۡلَتَنَا مَالِ هَٰذَا ٱلۡكِتَٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةٗ وَلَا كَبِيرَةً إِلَّآ أَحۡصَىٰهَاۚ وَوَجَدُواْ مَا عَمِلُواْ حَاضِرٗاۗ وَلَا يَظۡلِمُ رَبُّكَ أَحَدٗا

Maksudnya: Dan «Kitab-kitab Amal» juga tetap akan dibentangkan, lalu engkau akan melihat orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata: «Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!» Dan mereka dapati segala yang mereka lakukan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.

Surah Al-Kahf: Ayat 49

  • Betapa terperincinya kitab amalan apabila dipertontonkan di akhirat nanti. Tidak takutkah kita kalau kitab amalan tersebut penuh dengan dosa?
  • Oleh itu, kita perlu sentiasa muhasabah diri. Semoga kita berada dalam kalangan orang yang sentiasa berwaspada dengan setiap amalan dan perbuatan kita.

Hindari Perbuatan Mengumpat

Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَلَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka kerana sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari- cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamun suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka pasti kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.

Surah Al-Hujuraat: Ayat 12

  • Semoga kita semua dihindari dari bahaya lisan. Lidah tidak bertulang namun bahayanya mengundang murka Tuhan.
  • Salah satu dari bahaya lisan ialah mengumpat, sehingga Allah menyamakan orang yang mengumpat seperti memakan daging saudaranya sendiri. Semoga Allah menjauhkan kita darinya.