Mengadulah Kepada Allah SWT

Firman Allah SWT:

قَالَ إِنَّمَآ أَشۡكُواْ بَثِّي وَحُزۡنِيٓ إِلَى ٱللَّهِ وَأَعۡلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعۡلَمُونَ

Maksudnya: (Yaakub) Dia menjawab: “Sesungguhnya aku hanyalah mengadu kesusahan dan kesedihanku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) daripada Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

(Surah Yusuf: Ayat 86)

  • Bukan semua orang suka bercerita masalah sendiri kepada orang lain. Tidak mengapa, mengadulah kepada Allah. Dia tuhan yang sering mendengar dan memperkenankan rintihan hambanya dalam kesukaran.

Menjaga Hati Agar Tidak Berkarat

Firman Allah SWT:

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلۡقُرۡءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٞ وَرَحۡمَةٞ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارٗا

Maksudnya: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan bagi orang yang zalim melainkan kerugian.”

(Surah Al-Israa: Ayat 82)

  • Pada tubuh manusia ada hati yang dapat mempengaruhi perilaku kehidupan seseorang. Apabila hatinya baik maka setiap perkara akan membawa ke arah kebaikan dan juga sebaliknya.
  • Hati manusia mampu menjadi seperti besi yang boleh berubah menjadi karat. JIka hati berkarat dan berkeladak dengan segala penyakit, mana mungkin ia dapat menterjemahkan kebaikan.
  • Setiap perbuatan atau pun tingkah laku yang kita lakukan segalanya bermula dari hati. Oleh itu, peliharalah hati kita dengan membaca al-Quran, solat dan menghindari diri dari maksiat.

Mengubah Diri Ke Arah Lebih Baik

Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ يُمَسِّكُونَ بِٱلۡكِتَٰبِ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجۡرَ ٱلۡمُصۡلِحِينَ

Maksudnya: Dan orang yang berpegang teguh dengan al-Quran serta mendirikan solat, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang yang berusaha memperbaiki (keadaannya).

(Surah Al-A’raaf: Ayat 170)

  • Untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik, muhasabah diri adalah permulaan dalam usaha itu.
  • Dengan melakukan muhasabah diri, manusia akan membuka hati dan menyedari segala dosanya..
  • Kesilapan daripada kejahilan atau kekurangan ilmu itulah dijadikan sebagai peluang untuk memperbaiki diri supaya menjadi insan yang mulia di sisi-Nya.
  • Sesungguhnya orang yang selalu berusaha memperbaiki dirinya dan berusaha gigih mentaati suruhan Allah SWT akan mendapat pahala di sisi-Nya.

Keajaiban Bersedekah Dalam Islam

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلۡمُصَّدِّقِينَ وَٱلۡمُصَّدِّقَٰتِ وَأَقۡرَضُواْ ٱللَّهَ قَرۡضًا حَسَنٗا يُضَٰعَفُ لَهُمۡ وَلَهُمۡ أَجۡرٞ كَرِيمٞ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang bersedekah baik lelaki mahupun perempuan, dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, akan dilipat gandakan ganjarannya, dan mereka akan mendapat pahala yang mulia.”

Surah Al-Hadid: Ayat 18

Doa Dijauhkan Daripada Hasad Dengki

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا وَلِإِخۡوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلۡإِيمَٰنِ وَلَا تَجۡعَلۡ فِي قُلُوبِنَا غِلّٗا لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٞ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara mara kami yang telah beriman sebelum kami, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan dengki dan dendam terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Belas Kasihan lagi Maha Mengasihani”.

Surah Al-Hashr: Ayat 10

  • Perasaan hasad dengki, cemburu, iri hati melihat kejayaan dan kebahagiaan orang lain merupakan sifat mazmumah yang perlu kita jauhi.
  • Ini merupakan penyakit hati yang acap kali kita tidak sedar ianya menular dan merebak dalam diri.
  • Semoga dengan mengamalkan doa ini, kita dapat menyingkirkan perasaan buruk ini daripada terus bersarang di hati.

Cinta Dunia

Firman Allah SWT:

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرۡثَ ٱلۡأٓخِرَةِ نَزِدۡ لَهُۥ فِي حَرۡثِهِۦۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرۡثَ ٱلدُّنۡيَا نُؤۡتِهِۦ مِنۡهَا وَمَا لَهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ

Maksudnya: Sesiapa yang mahukan keuntungan di akhirat, Kami akan tambahkan keuntungan itu baginya dan sesiapa yang mahu keuntungan di dunia semata-mata, Kami berikan kepadanya sebahagian daripada (keuntungan itu), tetapi dia tidak akan mendapat bahagian di akhirat kelak.

Surah Ash-Shura: Ayat 20

Tanda cintakan dunia dapat dikenal pasti secara umumnya berdasarkan perkara-perkara ini:

  • Hanya nikmat dunia yang menjadi matlamat dan tumpuan.
  • Lalai atau lupa kepada matlamat terakhir iaitu akhirat.
  • Mengetepikan agama dalam urusan seharian.

Oleh itu, kita hidup di dunia perlu bijak untuk menguruskan apa yang kita perlukan di dunia serta buat di akhirat. Jangan hanya cintakan dunia sehingga mempersia-siakan bekalan untuk kita bawa di akhirat kelak.

Doa Menghilangkan Rasa Sedih, Sifat Malas Dan Bebanan Hutang

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

(Sahih Al-Bukhari, 7/158)

Orang Sabar Dibalas Syurga

Firman Allah SWT:

وَجَزَىٰهُم بِمَا صَبَرُواْ جَنَّةٗ وَحَرِيرٗا

Maksudnya: Dia memberikan ganjaran kepada mereka kerana kesabaran mereka (mengerjakan perintahNya dan meninggalkan laranganNya) dengan syurga dan (pakaian daripada) sutera.

Surah Al-Insan: Ayat 12

  • Allah SWT menjanjikan Syurga buat Muslim yang bersabar dengan segala ujian di dunia.
  • Mereka yang bersabar dalam mentaati perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya turut dijanjikan Syurga.
  • Oleh itu, sentiasalah mendidik diri kita agar mampu bersabar sedikit atas kesusahan di dunia supaya Allah SWT akan kurniakan Syurga yang tidak ternilai di akhirat nanti.

Berbuat Baik Kepada Kedua Ibu Bapa

Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَكَ ٱلۡكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوۡ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفّٖ وَلَا تَنۡهَرۡهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوۡلٗا كَرِيمٗا

Maksudnya: Dan Tuhanmu telah tetapkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan «ah», dan janganlah engkau menengking mereka berdua, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

Surah Al-Israa: Ayat 23

Doa Agar Dikurniakan Kesabaran Dan Kekuatan

Firman Allah SWT:

رَبَّنَآ أَفۡرِغۡ عَلَيۡنَا صَبۡرٗا وَثَبِّتۡ أَقۡدَامَنَا وَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَٰفِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah kesabaran kepada kami dan teguhkanlah pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”.

Surah Al-Baqarah: Ayat 250