Cara Menyambut Aidilfitri Mengikut Sunnah

Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ يَوْمَيْنِ خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْفِطْرِ وَيَوْمَ النَّحْرِ

Maksudnya : ”Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.”

Riwayat Abu Daud (1134)

  • Aidilfitri merupakan hari yang disyariatkan untuk disambut sebagai hari kegembiraan dan hari kemenangan, bagi umat Islam yang berjaya melaksanakan ibadat dengan sempurna pada bulan Ramadan, juga sebagai menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT.
  • Bagi mendapat keberkatan dalam menyambut perayaan ini, semua umat Islam hendaklah menghayati sunnah-sunnah Rasulullah ﷺ. Antaranya ialah:
  1. Bertakbir pada malam raya dan pagi raya.
  2. Menghidupkan malam raya dengan beribadat kepada Allah SWT, seperti melakukan solat, berzikir, membaca al Quran, bertasbih, bertahmid, beristighfar dan sebagainya.
  3. Mandi sunat hari raya, memakai pakaian yang baik dan memakai bau-bauan sebelum keluar menunaikan solat hari raya.
  4. Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.
  5. Keluar pergi solat melalui jalan lain dan balik ke rumah semula selepas solat melalui jalan lain.