Doa Agar Ditambah Baik Kebaikan Yang Dilakukan

Firman Allah SWT:

رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةٗ وَهَيِّئۡ لَنَا مِنۡ أَمۡرِنَا رَشَدٗا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah petunjuk yang benar dalam urusan kami.”

Surah al-Kahf: 10

  • Mengapa kadangkala kita sudah berbuat baik tetapi masih dibalas kejahatan? Sedarilah jika kita menanam padi, rumput pasti ikut tumbuh juga. Namun jika kita menanam rumput, pasti tidak ada padi tumbuh bersekali. Percayalah, dengan berbuat baik untuk meraih redhaNya, pasti hati kita lebih tenang.

Doa Mohon Dijauhi Azab Api Neraka

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا ٱصۡرِفۡ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, hindarkanlah azab neraka Jahannam daripada kami, sesungguhnya azabnya itu adalah mengerikan”.

Surah al-Furqan: 65

  • Belum tentu ahli maksiat masuk neraka dan belum pasti ahli ibadah masuk syurga. Ini kerana dosa boleh terhapus dengan kesungguhan taubat sementara pahala pula mudah terhapus dengan ujub dan riya’.
  • Mari kita lipat gandakan taubat dan istighfar. Mari kita tambah amal soleh dan ketaatan. Moga dengan semua itu, Allah SWT jauhi kita dari azab neraka dan diizinkan ke syurgaNya.

Larangan Mencela Orang

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”

(Riwayat al-Bukhari, 6018)

  • Rasulullah ﷺ sentiasa berpesan kepada kita agar menjaga tutur kata dan tidak menzalimi saudara kita dengan kata-kata yang menyakitkan.
  • Lidah seseorang dapat menggambarkan bagaimanakah hatinya.
  • Semoga Allah SWT memelihara lidah kita daripada mengucapkan perkataan yang boleh menyakiti saudara kita.

Doa Mohon Dikabulkan Hajat Dalam Hati

Firman Allah SWT:

رَبَّنَآ إِنَّكَ تَعۡلَمُ مَا نُخۡفِي وَمَا نُعۡلِنُۗ وَمَا يَخۡفَىٰ عَلَى ٱللَّهِ مِن شَيۡءٖ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فِي ٱلسَّمَآءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah.”

Surah Ibrahim: 38

  • Hidup ini bukanlah menyesali apa yang telah pergi, tetapi tentang menghargai apa yang kita miliki serta sabar menanti apa yang akan menghampiri.
  • Semoga Allah SWT menunaikan segala hajat kita, memberkati kehidupan, mengampunkan segala dosa serta mengizinkan para malaikat mencatat nama kita dalam senarai daftar hambaNya yang diredhai.

Hadis Berbekam

Daripada Abdullah bin Abbas, Bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

أن النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم احتجَم وهو مُحرِمٌ، واحتجَم وهو صائمٌ

Maksudnya: “ Nabi ﷺ berbekam dalam keadaan Baginda ﷺ berihram dan juga Baginda ﷺ berbekam ketika Baginda ﷺ berpuasa”.

(Riwayat al-Bukhari, 1802)

Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

حجمَ أبو طيبَةَ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلمَ ، فأمرَ له بصاعٍ من تمرٍ ، وأمَرَ أهلَهُ أن يخفِّفُوا من خراجِهِ

Maksudnya: “Abu Thaibah membekam Rasulullah ﷺ lalu Baginda ﷺ membayarnya dengan satu sha kurma dan Baginda ﷺ mengarahkan keluarganya untuk meringankan pajaknya”.

(Riwayat al-Bukhari, 1960)

Sedekah Bukti Cinta Kepada Allah SWT

Firman Allah SWT:

لَن تَنَالُواْ ٱلۡبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُواْ مِمَّا تُحِبُّونَۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٞ

Maksudnya: “Kamu tidak akan sama sekali dapat mencapai kebaikan (yang sempurna) sehingga kamu infakkan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa jua yang kamu infakkan.”

Surah Ali-Imran: 92

  • Semoga sedekah yang telah kita infakkan mendatangkan kebaikan dan tetapkanlah niat kita bersedekah hanya kerana Allah SWT.

Doa Mohon Dilindungi Dari Gangguan Syaitan

Firman Allah SWT:

رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحۡضُرُونِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu daripada hasutan syaitan-syaitan. Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak mendekatiku.”

Surah Al-Mukminun: 97-98

  • Syaitan tidak akan mencuri harta, wang, kenderaan dan kedudukan kita. Tetapi ia berusaha mencuri IMAN dan TAQWA yang kita miliki kerana ia tahu yang paling berharga pada manusia adalah imannya. Sebab itu syaitan amat rajin berusaha sesatkan manusia.
  • Mari teruskan berdoa dan berusaha. Moga Allah SWT melindungi diri kita bersama.

Solat Sunat Witir

Daripada Abdullah Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

اجْعَلُوا آخِرَ صَلاَتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا

Maksudnya: Jadikanlah solat witir sebagai solat terakhir kamu pada waktu malam.

Riwayat al-Bukhari, 998

  • Solat sunat witir ini merupakan salah satu amalan yang diamalkan oleh Rasulullah ﷺ. Solat sunat ini juga telah disebut dalam hadis yang mana bukti solat ini diamalkan oleh Rasulullah ﷺ.
  • Antara waktu yang boleh digunakan untuk melaksanakan solat sunat witir ini ialah:
  • Sebolehnya dilakukan pada waktu malam dan pada akhir solat malam.
  • Selepas solat isyak.
  • Boleh dilakukan sebelum mahupun sesudah bangun daripada tidur.
  • Tidak sah sekiranya dilakukan sebelum solat isyak.
  • Perlu selesai dilakukan sebelum tiba waktu subuh.

Doa Dipermudahkan Urusan Rezeki

Firman Allah SWT:

ٱللَّهُمَّ رَبَّنَآ أَنزِلۡ عَلَيۡنَا مَآئِدَةٗ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ تَكُونُ لَنَا عِيدٗا لِّأَوَّلِنَا وَءَاخِرِنَا وَءَايَةٗ مِّنكَۖ وَٱرۡزُقۡنَا وَأَنتَ خَيۡرُ ٱلرَّٰزِقِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada pada hari ini dan bagi orang yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadaMu serta kurniakanlah rezeki kepada kami kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki.”

Surah al-Ma’idah: 114

  • Jangan pernah berputus asa untuk berdoa kepada Allah SWT. Mungkin doamu tidak terjawab sekarang, tapi yang pasti Allah SWT tetap menjawabnya dengan jawapan yang terbaik pada saat paling tepat untukmu.

Bersedekah Semampu Mungkin

Daripada Said bin Abi Burdah, dari datuknya berkata, Nabi ﷺ bersabda:

عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ صَدَقَةٌ قَالُوا فَإِنْ لَمْ يَجِدْ قَالَ فَيَعْمَلُ بِيَدَيْهِ فَيَنْفَعُ نَفْسَهُ وَيَتَصَدَّقُ قَالُوا فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ أَوْ لَمْ يَفْعَلْ قَالَ فَيُعِينُ ذَا الْحَاجَةِ الْمَلْهُوفَ قَالُوا فَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ قَالَ فَيَأْمُرُ بِالْخَيْرِ أَوْ قَالَ بِالْمَعْرُوفِ قَالَ فَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ قَالَ فَيُمْسِكُ عَنْ الشَّرِّ فَإِنَّهُ لَهُ صَدَقَة

Maksudnya: “Wajib bagi setiap muslim untuk bersedekah.” Para sahabat bertanya; “Bagaimana jika ia tidak mempunyai apa-apa? ‘ Baginda bersabda: Hendaklah dia bekerja dengan kedua-dua tangannya, sehingga ia boleh memberi manfaat untuk dirinya dan bersedekah.’ Mereka bertanya lagi; ‘Bagaimana jika ia tidak boleh melakukannya? ‘ Baginda bersabda: Hendaklah dia menolong orang yang kesusahan atau sangat memerlukan bantuan.’ Mereka bertanya lagi; ‘Bagaimana jika ia tidak mampu melakukannya? ‘ Baginda bersabda: Suruhlah orang melakukan kebaikan atau; menyuruh melakukan yang makruf’. Mereka bertanya lagi; ‘Bagaimana jika ia tidak dapat melakukannya? ‘ Baginda bersabda: Tahanlah dirimu diri dari kejahatan, kerana itu juga adalah sedekah baginya.’

Riwayat al-Bukhari, 6022