Ganjaran Membaca Al-Quran

Daripada `Aisyah R.Anha, Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ

Maksudnya: Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan sentiasa taat kepada Allah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.

(Riwayat Muslim, 798)

  • Hadis ini memberikan motivasi kepada umatnya untuk terus belajar dan membaca Al-Quran, walaupun masih merangkak-merangkak.
  • Oleh itu, marilah sama-sama menjadikan Al-Quran sebagai bacaan harian yang wajib kita baca.

Keutamaan Sedekah

Firman Allah SWT:

وَأَنفِقُواْ مِن مَّا رَزَقۡنَٰكُم مِّن قَبۡلِ أَن يَأۡتِيَ أَحَدَكُمُ ٱلۡمَوۡتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوۡلَآ أَخَّرۡتَنِيٓ إِلَىٰٓ أَجَلٖ قَرِيبٖ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ ٱلصَّٰلِحِينَ

Maksudnya: “Dan nafkahkanlah sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum ajal datang kepada salah seorang di antara kamu, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya jika Engkau tangguhkan kematianku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, agar aku dapat bersedekah dan menjadi orang yang soleh.”

Surah Al-Munaafiqoon: 10

  • Allah SWT mengingatkan kita bahawa bersedekahlah selagi kita hidup di dunia, kerana Allah SWT telah khabarkan kepada kita nanti di akhirat ada orang yang meminta tangguh akan kematiannya kerana ingin bersedekah. Hal ini kerana orang tersebut mengetahui manfaat sedekah begitu besar, akan tetapi pengetahuan tersebut tidak lagi berguna kerana sudah berada di alam akhirat.

Doa Memohon Kesembuhan Dari Penyakit

Firman Allah SWT:

أَنِّي مَسَّنِيَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرۡحَمُ ٱلرَّحِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah Yang Maha Pengasih daripada segala (yang lain) yang mengasihani.”

Surah al-Anbiyaa: 83

  • Andai hari ini Allah beri rasa sakit, bersabarlah kerana dengannya Allah gugurkan sebahagian dosa.
  • Jika hujan merupakan kesakitan dan matahari adalah kebahagiaan, maka kita perlukan keduanya agar dapat melihat pelangi.

Adab Menguap

Daripada Abu Hurairah RA, Daripada Nabi ﷺ bersabda:

إنَّ اللَّهَ يُحِبُّ العُطاسَ، ويَكْرَهُ التَّثاؤُبَ، فإذا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ، فَحَقٌّ علَى كُلِّ مُسْلِمٍ سَمِعَهُ أنْ يُشَمِّتَهُ، وأَمَّا التَّثاؤُبُ: فإنَّما هو مِنَ الشَّيْطانِ، فَلْيَرُدَّهُ ما اسْتَطاعَ، فإذا قالَ: ها، ضَحِكَ منه الشَّيْطانُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan tidak menyukai menguap. Apabila seseorang bersin hendaklah dia memuji Allah. Merupakan satu tanggungjawab ke atas setiap Muslim yang mendengarnya untuk mendoakan kerahmatan untuknya. Adapun menguap, sesungguhnya ia daripada syaitan. Hendaklah seseorang menahannya semampu mungkin. Apabila dia mengeluarkan bunyi ‘Haa’, syaitan akan mentertawakannya.”

Riwayat al-Bukhari, 6223

  • Bersin adalah daripada Allah SWT dan menguap adalah daripada syaitan.
  • Apabila seseorang menguap, hendaklah dia meletakkan tangan di atas mulutnya.

Doa Mohon Keampunan

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسۡرَافَنَا فِيٓ أَمۡرِنَا وَثَبِّتۡ أَقۡدَامَنَا وَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَٰفِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, teguhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir”.

Surah Ali-Imraan: 147

  • Sekelam manapun masa silam kita, selagi masih bernyawa, kita tetap berpeluang menjadi ahli syurga. Jangan pernah berputus asa untuk berubah demi mencari keampunan Ilahi.

Ringan Di Lisan, Berat Di Timbangan

Dari Abu Hurairah RA, dia berkata, Nabi ﷺ bersabda;

كَلِمَتَانِ حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ ، خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ، ثَقِيلَتَانِ فِى الْمِيزَانِ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ

Maksudnya: “Dua kalimat yang dicintai oleh Ar Rahman, ringan diucapkan di lisan, namun berat dalam timbangan (amalan) iaitu subhanallahi wa bihamdih, subhanallahil ‘azhim (Maha Suci Allah, segala pujian untuk-Nya. Maha Suci Allah Yang Maha Mulia).”

Riwayat al-Bukhari, 7563

Doa Agar Diberi Bimbingan Selesaikan Masalah

Firman Allah SWT:

رَّبِّ أَدۡخِلۡنِي مُدۡخَلَ صِدۡقٖ وَأَخۡرِجۡنِي مُخۡرَجَ صِدۡقٖ وَٱجۡعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلۡطَٰنٗا نَّصِيرٗا

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah aku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah aku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”

Surah Al-Israa: 80

  • Rasulullah ﷺ membaca doa ini ketika berhadapan tekanan hebat dari kafir Quraisy Mekah.
  • Oleh itu, cubalah amalkan doa ini dengan Taqwa dan keyakinan tinggi kepadaNya. Bacalah ia dengan hati yang Tawadhuk dan berharap tinggi kepadaNya.
  • Hadiah tidak semestinya terbungkus indah. Terkadang Tuhan membalutinya dengan masalah tetapi di dalamnya tersimpan sejuta hikmah dan berkah.

Doa Dalam Diam

Daripada Safwan bin Abdillah RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Maksudnya: “Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”.

(Riwayat Muslim, 4914)

  • Islam sangat menggalakkan setiap umatnya agar sentiasa berdoa kepada saudaranya.
  • Kita dituntut untuk mendoakan perkara-perkara kebaikan kepada saudara kita.
  • Doa seorang hamba tanpa pengetahuan saudaranya adalah mustajab di sisi Allah SWT.
  • Setiap apa yang kita doakan, Allah SWT juga akan mengurniakan kepada kita sama seperti yang kita doakan.