Berbuat Baik Kepada Kedua Ibu Bapa

Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَكَ ٱلۡكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوۡ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفّٖ وَلَا تَنۡهَرۡهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوۡلٗا كَرِيمٗا

Maksudnya: Dan Tuhanmu telah tetapkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan «ah», dan janganlah engkau menengking mereka berdua, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

Surah Al-Israa: Ayat 23

Musibah Menghapus Dosa

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi ﷺ bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Maksudnya: “Tidaklah seorang muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya.”

(Sahih Riwayat al-Bukhari, 5641)

Doa Ditimpa Ujian, Tekanan Dan Gelisah

اَللّٰهُمَّ اِنِّىْ اَعُوْذُبِكَ مِنْ جَهْدِ الْبَلَاءِ وَدَرَكِ الشَّقَاءِ وَسُوْءِ الْقَضَاءِ و شَمَاتَةِ الْاَعْدَاءِ

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari menemui penderitaan, dari takdir yang buruk dan dari keberhasilan musuh.”

Sahih al-Bukhari, 6347

Doa Agar Dikurniakan Kesabaran Dan Kekuatan

Firman Allah SWT:

رَبَّنَآ أَفۡرِغۡ عَلَيۡنَا صَبۡرٗا وَثَبِّتۡ أَقۡدَامَنَا وَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَٰفِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah kesabaran kepada kami dan teguhkanlah pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”.

Surah Al-Baqarah: Ayat 250

Doa Ketika Hujan Lebat

Suatu ketika hujan lebat tanpa henti, para sahabat mengadu kepada Rasulullah ﷺ. “Wahai Rasullah , harta benda telah musnah, jalan-jalan sudah terputus…” Rasulullah ﷺ lalu mengangkat tangan lantas berdoa:

اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ ‏

Maksudnya: “Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami, bukan untuk merosak kami. Ya Allah, turunkanlah hujan ke dataran tinggi, gunung-gunung, bukit-bukit, perut lembah, dan tempat tumbuhnya pokok.”

(Riwayat al-Bukhari, 1014)

Apa Itu Bersiwak ?

Secara asanya bersiwak itu bermaksud membersihkan gigi menggunakan kayu siwak atau kayu sugi. Sebagaimana hal itu yang biasanya dilakukan oleh Rasulullah ﷺ.

Perbuatan membersihkan gigi ini ialah sunnah dan sangat diredhai Allah.

Sebagaimana dalil,

السِّوَاكَ مَطْهَرَةٌ لِلْفَمِّ مَرْضَاةٌ لِلرَّبِّ

“Siwak membuat bersih mulut dan mendatangkan redho Allah” (H.R Ahmad, sahih)

Adakah sunnah ini mesti menggunakan kayu sugi dan kayu siwak? Pastilah tidak. Malah tetap juga menjadi sunnah jika kita membersihkan gigi dengan alat-alat lain seperti berus dan ubat gigi atau juga berus gigi elektronik.

Wallahualam

Kemanisan Iman

Daripada Anas bin Malik RA, dari Nabi ﷺ bersabda:

ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Maksudnya: “Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, ia akan mendapatkan manisnya iman: Dijadikannya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya dari selain keduanya. Jika ia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah. Dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci bila dilempar ke neraka.”

Sahih Riwayat al-Bukhari, 16

Cabang-Cabang Iman

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya: Iman itu mempunyai 70 lebih atau 60 lebih cabang. Yang paling afdhalnya ialah ucapan “La ilaha illallah” dan yang paling rendahnya adalah membuang apa yang menyakitkan dari jalan. Dan malu itu sebahagian daripada iman.

(Riwayat Muslim, 35)

Doa Agar Teguh Mendirikan Solat

Firman Allah SWT:

رَبِّ ٱجۡعَلۡنِي مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِيۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَآءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim: Ayat 40

  • Solat itu adalah satu amanat yang diletakkan kepada manusia oleh Allah SWT dan satu cara perhubungan rahsia antara hamba dengan Tuhan-Nya.
  • Sesibuk mana pun kamu tetaplah teguh dalam mendirikan solat kerana solat itu tiang agama .
  • Jika susah di dunia hanya untuk bangun dan mendirikan solat, susah di akhirat adalah dengan seksaan pedih bertahun-tahun lamanya di neraka kerana meninggalkan solat.
  • Oleh itu, marilah sama-sama berusaha melaksanakan perintah Allah SWT termasuk menyempurnakan amalan solat agar tiang agama ini dapat berdiri dengan teguh dan menjadi satu terapi bagi fizikal serta mental.

Penerimaan Doa

Allah SWT menyeru kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya melalui firman-Nya:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدۡعُونِيٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسۡتَكۡبِرُونَ عَنۡ عِبَادَتِي سَيَدۡخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong daripada beribadat dan berdoa kepadaKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Surah al-Ghaafir: Ayat 60

  • Ramai daripada kalangan kita tidak mengetahui cara Allah SWT menerima doa hamba-hamba-Nya sehingga mereka menyangka bahawa Allah SWT tidak menerima doa mereka.
  • Allah SWT pasti akan memustajabkan setiap doa yang dipanjatkan kepada-Nya tetapi dengan cara yang berbeza. Sama ada terus dimustajabkan permintaan tersebut atau juga ditangguhkan kepada tempoh waktu tertentu.
  • Semoga Allah SWT menggolongkan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang doanya mustajab. Amin.