Doa Agar Teguh Mendirikan Solat

Firman Allah SWT:

رَبِّ ٱجۡعَلۡنِي مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِيۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَآءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim: Ayat 40

  • Solat itu adalah satu amanat yang diletakkan kepada manusia oleh Allah SWT dan satu cara perhubungan rahsia antara hamba dengan Tuhan-Nya.
  • Sesibuk mana pun kamu tetaplah teguh dalam mendirikan solat kerana solat itu tiang agama .
  • Jika susah di dunia hanya untuk bangun dan mendirikan solat, susah di akhirat adalah dengan seksaan pedih bertahun-tahun lamanya di neraka kerana meninggalkan solat.
  • Oleh itu, marilah sama-sama berusaha melaksanakan perintah Allah SWT termasuk menyempurnakan amalan solat agar tiang agama ini dapat berdiri dengan teguh dan menjadi satu terapi bagi fizikal serta mental.

Penerimaan Doa

Allah SWT menyeru kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya melalui firman-Nya:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدۡعُونِيٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسۡتَكۡبِرُونَ عَنۡ عِبَادَتِي سَيَدۡخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong daripada beribadat dan berdoa kepadaKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Surah al-Ghaafir: Ayat 60

  • Ramai daripada kalangan kita tidak mengetahui cara Allah SWT menerima doa hamba-hamba-Nya sehingga mereka menyangka bahawa Allah SWT tidak menerima doa mereka.
  • Allah SWT pasti akan memustajabkan setiap doa yang dipanjatkan kepada-Nya tetapi dengan cara yang berbeza. Sama ada terus dimustajabkan permintaan tersebut atau juga ditangguhkan kepada tempoh waktu tertentu.
  • Semoga Allah SWT menggolongkan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang doanya mustajab. Amin.

Doa Memohon Kebaikan di Dunia dan di Akhirat

Firman Allah SWT:

رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٗ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka”.

Surah al-Baqarah: 201

  • Bagi sesetengah kita, mungkin selalu dengar imam membaca doa ini selepas solat. Doanya pendek sahaja, tetapi maknanya besar sekali. Doa yang pendek ini merangkumi segala aspek kehidupan kita.
  • Segala permintaan kita seperti murah rezeki, dapat jodoh yang baik, diberi kesihatan, dapat balas jasa mak ayah, dapat masuk syurga, diberi kekuatan untuk beramal soleh, diampunkan dosa, semua ini terkandung dalam “kebaikan di dunia dan akhirat”.
  • Semoga setiap doa kita dimakbulkan oleh Allah SWT. Amin.

Doa Taubat Nabi Adam A.S

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا ظَلَمۡنَآ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمۡ تَغۡفِرۡ لَنَا وَتَرۡحَمۡنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan, kami telah menzalimi diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampunkan dan merahmati kami, pasti kami termasuk dalam golongan orang yang rugi”.

Surah Al-A’raaf: Ayat 23

  • Jika inginkan hidupmu lebih damai, taatilah Ilahi, dekatkan dahimu ke atas sejadah, bicaralah kepadaNya dan curahkan semua isi hatimu. Renungi setiap saat episod hidupmu, sesali kesalahanmu dan bertaubatlah. Sesudah itu pasti hatimu akan lebih lapang dan lebih nyaman.

Keutamaan Sedekah

Firman Allah SWT:

وَأَنفِقُواْ مِن مَّا رَزَقۡنَٰكُم مِّن قَبۡلِ أَن يَأۡتِيَ أَحَدَكُمُ ٱلۡمَوۡتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوۡلَآ أَخَّرۡتَنِيٓ إِلَىٰٓ أَجَلٖ قَرِيبٖ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ ٱلصَّٰلِحِينَ

Maksudnya: “Dan nafkahkanlah sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum ajal datang kepada salah seorang di antara kamu, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya jika Engkau tangguhkan kematianku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, agar aku dapat bersedekah dan menjadi orang yang soleh.”

Surah Al-Munaafiqoon: 10

  • Allah SWT mengingatkan kita bahawa bersedekahlah selagi kita hidup di dunia, kerana Allah SWT telah khabarkan kepada kita nanti di akhirat ada orang yang meminta tangguh akan kematiannya kerana ingin bersedekah. Hal ini kerana orang tersebut mengetahui manfaat sedekah begitu besar, akan tetapi pengetahuan tersebut tidak lagi berguna kerana sudah berada di alam akhirat.

Doa Memohon Kesembuhan Dari Penyakit

Firman Allah SWT:

أَنِّي مَسَّنِيَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرۡحَمُ ٱلرَّحِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah Yang Maha Pengasih daripada segala (yang lain) yang mengasihani.”

Surah al-Anbiyaa: 83

  • Andai hari ini Allah beri rasa sakit, bersabarlah kerana dengannya Allah gugurkan sebahagian dosa.
  • Jika hujan merupakan kesakitan dan matahari adalah kebahagiaan, maka kita perlukan keduanya agar dapat melihat pelangi.

Doa Mohon Keampunan

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسۡرَافَنَا فِيٓ أَمۡرِنَا وَثَبِّتۡ أَقۡدَامَنَا وَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَٰفِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, teguhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir”.

Surah Ali-Imraan: 147

  • Sekelam manapun masa silam kita, selagi masih bernyawa, kita tetap berpeluang menjadi ahli syurga. Jangan pernah berputus asa untuk berubah demi mencari keampunan Ilahi.

Doa Agar Diberi Bimbingan Selesaikan Masalah

Firman Allah SWT:

رَّبِّ أَدۡخِلۡنِي مُدۡخَلَ صِدۡقٖ وَأَخۡرِجۡنِي مُخۡرَجَ صِدۡقٖ وَٱجۡعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلۡطَٰنٗا نَّصِيرٗا

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah aku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah aku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”

Surah Al-Israa: 80

  • Rasulullah ﷺ membaca doa ini ketika berhadapan tekanan hebat dari kafir Quraisy Mekah.
  • Oleh itu, cubalah amalkan doa ini dengan Taqwa dan keyakinan tinggi kepadaNya. Bacalah ia dengan hati yang Tawadhuk dan berharap tinggi kepadaNya.
  • Hadiah tidak semestinya terbungkus indah. Terkadang Tuhan membalutinya dengan masalah tetapi di dalamnya tersimpan sejuta hikmah dan berkah.