Ihsan Kepada Kedua Ibu Bapa

Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ

Maksudnya: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.”

Riwayat al-Hakim, 7263

  • Menjadi kewajipan setiap anak untuk menjaga kedua ibubapa mereka dan memberi khidmat yang terbaik selagi mana mereka tidak memerintahkan kita untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT.
  • Dosa orang yang menderhakai kedua ibubapa akan dipercepatkan oleh Allah SWT di dunia lagi.
  • Semoga Allah SWT menjadikan kita anak-anak yang soleh dan solehah serta anak-anak yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tuanya sama ada semasa hayat mereka atau selepas ketiadaan mereka di dunia ini.

Doa Ketika Sedih

Daripada Ibn ‘Abbas RA, Rasulullah ﷺ akan membaca disaat tertekan:

‏ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ رَبُّ السَّمَوَاتِ، وَرَبُّ الأَرْضِ، وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ

Maksudnya: “Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah yang Maha Agung lagi Maha Lembut. Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah, tuhan kepada Arsy yang sangat mulia. Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah, tuhan kepada langit, bumi dan tuhan kepada Arsy yang mulia”.

Riwayat al-Bukhari, 6345

Bentuk Nikmat Kubur

Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا مَاتَ عُرِضَ عَلَيْهِ مَقْعَدُهُ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ إِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَمِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَإِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ فَيُقَالُ هَذَا مَقْعَدُكَ حَتَّى يَبْعَثَكَ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Setiap seorang daripada kamu, apabila telah mati akan diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya setiap pagi dan petang. Jika dia daripada ahli syurga maka (akan diperlihatkan seperti) ahli syurga dan jika dia ahli neraka maka daripada ahli neraka. Dikatakan kepadanya, “Inilah tempatmu sehingga dibangkitkan semula pada hari kiamat.”

Riwayat al-Bukhari: 1379

  • Sesungguhnya kubur satu taman daripada taman-taman Syurga atau satu gaung daripada gaung-gaung neraka.
  • Semoga Allah kurniakan kepada kita nikmat kubur sehingga membawa kita ke syurga.

3 Ikatan Syaitan

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

يَعْقِدُ الشَّيْطَانُ عَلَى قَافِيَةِ رَأْسِ أَحَدِكُمْ إِذَا هُوَ نَامَ ثَلَاثَ عُقَدٍ يَضْرِبُ كُلَّ عُقْدَةٍ عَلَيْكَ لَيْلٌ طَوِيلٌ فَارْقُدْ فَإِنْ اسْتَيْقَظَ فَذَكَرَ اللَّهَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَإِنْ تَوَضَّأَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَإِنْ صَلَّى انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَأَصْبَحَ نَشِيطًا طَيِّبَ النَّفْسِ وَإِلَّا أَصْبَحَ خَبِيثَ النَّفْسِ كَسْلَانَ

Maksudnya: “Syaitan mengikat tengkuk kepala seseorang dari kalian ketika dia tidur dengan tiga tali ikatan dan syaitan mengikatkannya sedemikian rupa sehingga setiap ikatan diletakkan pada tempatnya lalu syaitan akan mengatakan: Malam masih panjang, maka tidurlah dengan nyenyak. Jika dia bangun dan berzikir mengingat Allah maka lepaslah satu tali ikatan. Kemudian jika ia berwuduk maka lepas lagi satu ikatan berikutnya. Kemudian jika ia mendirikan solat, lepaslah ikatan terakhir. Di pagi harinya dia akan bersemangat dan segar yang mententeramkan jiwa. Namun bila dia tidak melakukan seperti itu, maka pagi harinya jiwanya jadi kotor (merasa tidak segar) dan menjadi malas “.

Riwayat al-Bukhari, 1074

  • Rasulullah ﷺ mengajar cara untuk melepaskan ikatan tersebut:
  1. Segera bangun awal sebelum subuh dengan membaca doa:

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُوْرِ

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan (membangunkan) kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nyalah kami dibangkitkan”.

  1. Bangun membersihkan diri serta berwuduk.
  2. Menunaikan Solat.

Sedekah Tidak Akan Mengurangkan Harta

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَامِن يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ, إِلاَّ مَلَكَانِ يَنزِلاَنِ, فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا: اَللهُمَّ أَعْطِ مُنفِقًا خَلَفًا. وَيَقُولُ الآخَرُ: اللهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: “Tidak ada suatu hari pun ketika seorang hamba melewati paginya kecuali akan turun (datang) dua malaikat kepadanya lalu salah satunya berdoa; “Ya Allah berikanlah pengganti bagi siapa yang menafkahkan hartanya”, sedangkan yang satunya lagi berdoa; “Ya Allah berikanlah kehancuran (kebinasaan) kepada orang yang menahan hartanya (bakhil) “.

Riwayat al-Bukhari, 1351

  • Orang yang bersedekah tidak akan mengurangkan hartanya. Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik malah akan didoakan oleh Malaikat.

Doa Dijauhkan Dari Pelbagai Keburukan

Daripada Qutaibah bin Malik RA, Sesungguhnya Rasulullah ﷺ membaca doa:

اَللَّهُمَّ جَنِّبْنِي مُنْكَرَاتِ اَلْأَخْلَاقِ, وَالْأَعْمَالِ, وَالْأَهْوَاءِ, وَالْأَدْوَاءِ

Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah aku daripada akhlak yang keji, amalan yang munkar, nafsu yang buruk dan pelbagai penyakit yang berat”.

Riwayat al-Tirmidzi, 3591

Muflis Di Akhirat

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

أتَدْرُونَ مَنْ الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ لَا لَهُ دِرْهَمَ وَلَا دِينَارَ وَلَا مَتَاعَ قَالَ الْمُفْلِسُ مِنْ أُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ يَأْتِي بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ عِرْضَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُقْعَدُ فَيَقْتَصُّ هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

Maksudnya: “Tahukah kalian siapakah yang disebut dengan orang yang muflis?” Para sahabat menjawab; “Orang yang muflis menurut kami wahai Rasulullah, adalah orang yang tidak punya dirham dan dinar serta harta benda.”Baginda bersabda: “Seorang muflis daripada kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan pahala solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) dia juga membawa dosa mencaci maki, menuduh, serta memakan harta orang lain serta membunuh dan menyakiti orang lain.” “Setelah itu diberikan kepadanya sebahagian daripada pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil sebahagian dosa-dosa mereka tadi untuk dibebankan ke atasnya hingga akhirnya dia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa).”

Riwayat Muslim, 2581

Mata Yang Tidak Disentuh Api Neraka

Dari Ibnu Abbas ia berkata; “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda;

عَيْنَانِ لَا تَمَسُّهُمَا النَّارُ : عَيْنٌ بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ ، وَعَيْنٌ بَاتَتْ تَحْرُسُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya: “Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka: Mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan mata yang berjaga kerana menjaga perjuangan di jalan Allah.”

Riwayat al-Tirmidzi: 1639

Semoga kita dikurniakan kekuatan untuk mengamalkan amalan ini.

Zuhud Dalam Kehidupan

Dari Sahl bin Sa’d As Sa’idi dia berkata, “Seorang laki-laki datang kepada Nabi ﷺ berkata, “Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku suatu amalan yang jika aku kerjakan maka Allah dan seluruh manusia akan mencintaiku”. Rasulullah ﷺ bersabda:

ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّكَ اللَّهُ وَازْهَدْ فِيمَا فِي أَيْدِي النَّاسِ يُحِبُّوكَ

Maksudnya: “Berlakulah zuhud dalam urusan dunia nescaya kamu akan dicintai Allah, dan zuhudlah kamu terhadap apa yang dimiliki orang lain nescaya kamu akan dicintai oleh manusia.”

Sahih Riwayat Ibnu Majah, 4092

  • Zuhud bermakna bersederhana dalam kehidupan, tidak memandang dunia melebihi akhirat namun dalam masa yang sama tidak meninggalkan dunia secara keseluruhan.
  • Zuhud bukan bererti menolak dunia malah dia akan bekerja bersungguh-sungguh dengan niat semata-mata kerana Allah. Menggunakan segala yang dimiliki dalam usaha memberi khidmat kepada orang ramai dan hanya mengambil sekadar yang perlu.

Balasan Pengumpat dan Pengaib

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah ﷺ bersabda :

لَمَّا عُرِجَ بِي مَرَرْتُ بِقَوْمٍ لَهُمْ أَظْفَارٌ مِنْ نُحَاسٍ يَخْمُشُونَ وُجُوهَهُمْ وَصُدُورَهُمْ فَقُلْتُ: مَنْ هَؤُلَاءِ يَا جِبْرِيلُ قَالَ: هَؤُلَاءِ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ لُحُومَ النَّاسِ وَيَقَعُونَ فِي أَعْرَاضِهِمْ

Maksudnya: “Ketika aku dinaikkan ke langit (pada malam isra dan mikraj), aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku dari tembaga dan mereka mencakar-cakar muka dan dada mereka, maka aku berkata : Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril menjawab: Merekalah orang-orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan mengaibkan maruah mereka.”

Sahih Riwayat Abu Daud, 4878

  • Sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT perlulah menjaga lidah daripada perkara-perkara yang haram dan sia-sia.
  • Ini kerana, ciri atau sifat orang yang beriman adalah sentiasa bercakap perkara yang baik atau mendiamkan diri daripada bercakap perkara-perkara yang sia-sia.