Doa Memohon Ketetapan Hati

رَبَّنَا لَا تُزِغۡ قُلُوبَنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَيۡتَنَا وَهَبۡ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةًۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami setelah Engkau beri hidayah kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi.

Surah Ali-Imran: 8

Ujian Allah Mengikut Kemampuan Kita

Rasulullah ﷺ bersabda:

أَشَدُّ النَّاسِ بَلَاءً الْأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الصَّالِحُونَ ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ لَهُ فِي الْبَلَاء

Maksudnya: “Manusia yang paling berat ujiannya adalah para Nabi, kemudian orang-orang yang Soleh, kemudian diikuti oleh orang-orang yang mulia, dan disusuli oleh orang-orang yang mulia berikutnya. Seseorang hamba akan diuji sesuai kadar agamanya (keimanannya). Jika keimanannya kuat maka ujiannya juga akan semakin berat.”

Sahih Riwayat Tirmidzi, 3298

  • Sesungguhnya, manusia itu hanya akan diuji sesuai mengikut kemampuannya. Sehebat mana pun sesuatu ujian itu, sesukar mana pun ia di mata kita, percayalah bahawa kita sebenarnya mampu untuk menghadapinya.

Jangan Berbuat Zalim Dan Bakhil

Daripada Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah ﷺ bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالظُّلْمَ فَإِنَّ الظُّلْمَ ظُلُمَاتٌ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُحْشَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفُحْشَ وَالتَّفَحُّشَ وَإِيَّاكُمْ وَالشُّحَّ فَإِنَّهُ دَعَا مَنْ قَبْلَكُمْ فَاسْتَحَلُّوا مَحَارِمَهُمْ وَسَفَكُوا دِمَاءَهُمْ وَقَطَّعُوا أَرْحَامَهُمْ

Maksudnya: “Janganlah kalian berbuat zalim, kerana kezaliman akan menjadi kegelapan pada hari kiamat di sisi Allah, janganlah berbuat keji kerana Allah tidak suka kekejian dan perbutan keji, janganlah berbuat kikir, kerana itu yang menyebabkan kerosakan orang-orang sebelum kalian, sehingga mereka menghalalkan kehormatan, menumpahkan darah dan memutus hubungan silaturahim mereka.”

Sahih Riwayat Ahmad, 9202

  • Muslim dilarang melakukan kezaliman kepada dirinya dan orang lain.
  • Muslim juga dilarang bersifat kikir atau bakhil. Bakhil adalah buah dan akibat dari kecintaan kepada dunia.
  • Semoga kita dijauhkan daripada memiliki sifat zalim, keji dan bakhil.

Dosa Besar Menderhaka Kepada Ibu Bapa

Daripada Anas RA berkata; Nabi ﷺ ditanya tentang dosa-dosa besar. Maka baginda bersabda:

الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَقَتْلُ النَّفْسِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ

Maksudnya: “Menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua orang tua, membunuh orang dan bersumpah palsu”.

Riwayat Al-Bukhari, 2459

  • Dosa besar ialah kesalahan yang dijanjikan azab yang pedih jika pelakunya tidak melakukan taubat nasuhah hingga diampunkan dosanya oleh Allah.
  • Derhaka kepada ibu bapa merupakan dosa besar kedua selepas dosa perbuatan syirik. Semoga kita menjauhi dosa-dosa besar ini.

Puasa Sunat Di Bulan Muharam

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda:

أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ

Maksudnya: “Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Qiyamullail)”.

Riwayat Muslim, 1982

Gembirakan Kedua Ibu Bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ جِئْتُ أُبَايِعُكَ عَلَى الْهِجْرَةِ وَتَرَكْتُ أَبَوَيَّ يَبْكِيَانِ فَقَالَ ارْجِعْ عَلَيْهِمَا فَأَضْحِكْهُمَا كَمَا أَبْكَيْتَهُمَا

Maksudnya: Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, ia berkata; terdapat seorang laki-laki yang datang kepada Rasulullah ﷺ dan berkata; aku datang membaiah engkau untuk berhijrah, dan aku telah meninggalkan kedua orang tua ku dalam keadaan menangis. Kemudian baginda bersabda: “Kembalilah kepada mereka berdua dan buatlah mereka tertawa sebagaimana engkau membuat mereka menangis!”

Sahih Riwayat Abu Daud, 2166

  • Tidak ada perkara yang berharga melainkan sesuatu yang membuatkan kedua ibu bapa gembira di dunia dan gembira di syurga.
  • Bagi mereka yang masih memiliki kedua ibu bapa atau salah seorang daripadanya, lakukanlah sesuatu yang mengembirakan kedua mereka.

Hindari Prasangka Dan Mencari Aib Manusia

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi ﷺ bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

Maksudnya: “Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

Sahih Riwayat Al-Bukhari, 5143

Ikhlas Dalam Beramal

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata; Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan kamu.”

Riwayat Muslim, 2564.

Mensyukuri Nikmat

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, Rasulullah ﷺ bersabda:

انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اَللَّهِ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Lihatlah orang yang berada di bawahmu dan jangan melihat orang yang berada di atasmu, kerana yang demikian itu lebih patut, agar kamu tidak memandang remeh nikmat yang telah Allah berikan kepada kamu.”

Riwayat Muslim, 2963

Doa Memohon Pelindungan Dari Gangguan Syaitan

Firman Allah SWT:

رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحۡضُرُونِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu daripada hasutan syaitan-syaitan”. “Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak mendekatiku”.

Surah Al-Mu’minun: 97-98