Sedekah Membersihkan Jiwa

Firman Allah SWT:

خُذۡ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡ صَدَقَةٗ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٞ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) agar dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. (Ingatlah) Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Surah at-Taubah: 103

Berzikirlah Kepada Allah

Daripada Abu Musa RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ

Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.”

Riwayat al-Bukhari, 6407

Mendoakan Orang Yang Melakukan Kebaikan

Daripada Usamah bin Zayd RA berkata, Rasulullah ﷺ berpesan dalam sabdanya:

مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوْفٌ، فَقَالَ لِفَاعِلِهِ: جَزَاكَ اللهُ خَيْرًا، فَقَدْ أَبْلَغَ فِيْ الثَّنَاءِ

Maksudnya: “Sesiapa yang diperlakukan kepadanya sesuatu kebaikan, maka ucapkanlah kepada orang yang melakukan kebaikan kepada kamu dengan ungkapan: Semoga Allah membalasnya dengan segala kebaikan. Maka sesungguhnya dia telah menerima pujian yang terbaik”.

Riwayat al-Tirmidzi, 2035

Ulama Mati Bersama Ilmunya

Daripada Abdillah bin Amru bin al-As R.Anhuma katanya: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.”

Riwayat al-Bukhari, 100

– Ilmu merupakan kurniaan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya.

– Cara ilmu dicabut ialah dengan kematian ulama.

– Kematian ulama dianggap sebagai musibah yang besar kerana ulama adalah pewaris nabi dan pelita bagi umat Islam.

– Ilmu tidak boleh diwarisi seperti mana harta, sebaliknya perlu dipelajari dan ditekuni dengan bersungguh-sungguh.

– Oleh itu setiap penuntut ilmu perlu bersedia untuk mewarisi ilmu itu dan menyampaikan kepada generasi berikutnya sebagai kesinambungan keilmuan yang utama dalam kehidupan manusia.

Golongan Mati Syahid

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi ﷺ bersabda:

الشُّهَداءُ خَمْسَةٌ: المَطْعُونُ، والمَبْطُونُ، والغَرِيقُ، وصاحِبُ الهَدْمِ، والشَّهِيدُ في سَبيلِ اللَّهِ

Maksudnya : Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun (wabak), mati kerana penyakit perut, mati lemas, mati ditimpa runtuhan dan mati syahid di jalan Allah.

Riwayat al-Bukhari, 2829

Segala Amal Kebajikan Pasti Akan Dibalas Oleh Allah SWT

Firman Allah SWT:

وَمَا تُقَدِّمُوا لأِنْفُسِكُمْ مِنْ خَيْرٍ تَجِدُوْهُ عِنْدَ اللهِ هُوَ خَيْرًا وَّأَعْظَمَ أَجْرًا

Yang bermaksud: “Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya di sisi Allah sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya.”

Surah Al-Muzzammil: 20

Kelebihan Orang Yang Berwudhu’

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّ أُمَّتِي يُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيَامَةِ غُرًّا مُحَجَّلِينَ مِنْ آثَارِ الوُضُوءِ، فَمَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يُطِيلَ غُرَّتَهُ فَلْيَفْعَلْ

Maksudnya: “Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari Kiamat dengan dahi, tangan dan kaki yang berseri-seri disebabkan daripada kesan-kesan wudhu’. Barangsiapa yang mampu daripada kalangan kamu untuk melebihkan dahinya maka lakukanlah ia.”

Riwayat al-Bukhari, 136

Kepentingan Berakhlak Mulia

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم عن أكثرِ ما يُدخِلُ الناسَ الجنةَ؟ قال: ((تقوى الله وحسن الخلق))، وسئل عن أكثر ما يُدخِل الناسَ النار، فقال: ((الفم والفَرْجُ))

Maksudnya: Nabi ﷺ pernah di tanya; “Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk syurga?” baginda menjawab: “Taqwa kepada Allah dan akhlak yang mulia.” Baginda di tanya lagi; “Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk neraka?” baginda menjawab: “Dua rongga yang terbuka iaitu mulut dan kemaluan.”

Riwayat al-Tirmidzi, 2004

  • Sebagai umat Islam, kita seharusnya bertakwa kepada Allah dan memiliki akhlak yang mulia sebagai balasan untuk beroleh rahmat, pahala dan ganjaran syurga daripada Allah SWT.
  • Maksud mulut di dalam hadis adalah orang yang tidak menjaga daripada dosa-dosa mulut seperti mengejek, menipu, mengumpat, mengadu domba, dan sebagainya.
  • Makna kemaluan pula adalah orang yang tidak menjaga kemaluannya daripada zina, liwat, tidak menjaga auratnya di hadapan selain daripada mahramnya seperti isterinya dan sebagainya.
  • Jadilah umat yang bertakwa dan memiliki akhlak yang mulia dengan memelihara mulut dan kemaluan dari melakukan dosa.

Syafaat al-Quran

Daripada Abu Umamah RA, aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya”.

Riwayat Muslim, 804

  • Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang mencintai dan melazimi dalam membaca al-Quran serta beramal dengan apa yang terdapat di dalam kitab-Nya.

Ihsan Kepada Kedua Ibu Bapa

Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ

Maksudnya: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.”

Riwayat al-Hakim, 7263

  • Menjadi kewajipan setiap anak untuk menjaga kedua ibubapa mereka dan memberi khidmat yang terbaik selagi mana mereka tidak memerintahkan kita untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT.
  • Dosa orang yang menderhakai kedua ibubapa akan dipercepatkan oleh Allah SWT di dunia lagi.
  • Semoga Allah SWT menjadikan kita anak-anak yang soleh dan solehah serta anak-anak yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tuanya sama ada semasa hayat mereka atau selepas ketiadaan mereka di dunia ini.