Ganjaran Orang Yang Menjaga Anak Yatim

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

كَافِلُ الْيَتِيمِ لَهُ أَوْ لِغَيْرِهِ أَنَا وَهُوَ كَهَاتَيْنِ فِي الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini (Nabi ﷺ mengisyaratkan dengan dua jari baginda ﷺ) di syurga”.

Riwayat Muslim, 2983

  • Baginda sangat memuliakan golongan yang menyantuni anak yatim sehingga Baginda menjanjikan, sesiapa sahaja yang menjaga anak yatim, maka dia akan dekat dengan Baginda pada hari akhirat kelak.
  • Jagalah amanah ini apabila kita dipilih oleh Allah SWT untuk menjaga atau memelihara mereka.
  • Semoga Allah SWT sentiasa memelihara anak-anak ini dan juga memelihara kita semua daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti, menganiayai dan menzalimi anak-anak ini.

Kelebihan Berselawat Ke atas Nabi ﷺ

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.”

Riwayat Muslim, 384

Kepentingan Solat

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ

Maksudnya: Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.

Surah al-Ankabut: 45

– Solat merupakan rukun Islam kedua yang wajib ditunaikan setelah mengucap dua kalimah syahadah.

– Perintah mendirikan solat ini telahpun bermula semenjak berlakunya satu peristiwa besar di dalam Islam yang dilalui oleh baginda Rasulullah SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj.

– Amalan pertama yang akan dihitung di Hari Kiamat nanti adalah pada solat seseorang. Sekiranya solat fardhu seseorang tidak dilaksanakan dengan sempurna, maka amalan lain tidak lagi berguna.

– Oleh yang demikian, umat Islam hendaklah melaksanakan ibadat ini dengan sempurna kerana ia bukan sahaja dapat mendekatkan diri kepada Allah bahkan dapat membentuk peribadi yang mulia.

Sedekah Membersihkan Jiwa

Firman Allah SWT:

خُذۡ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡ صَدَقَةٗ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٞ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) agar dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. (Ingatlah) Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Surah at-Taubah: 103

Berzikirlah Kepada Allah

Daripada Abu Musa RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ

Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.”

Riwayat al-Bukhari, 6407

Mendoakan Orang Yang Melakukan Kebaikan

Daripada Usamah bin Zayd RA berkata, Rasulullah ﷺ berpesan dalam sabdanya:

مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوْفٌ، فَقَالَ لِفَاعِلِهِ: جَزَاكَ اللهُ خَيْرًا، فَقَدْ أَبْلَغَ فِيْ الثَّنَاءِ

Maksudnya: “Sesiapa yang diperlakukan kepadanya sesuatu kebaikan, maka ucapkanlah kepada orang yang melakukan kebaikan kepada kamu dengan ungkapan: Semoga Allah membalasnya dengan segala kebaikan. Maka sesungguhnya dia telah menerima pujian yang terbaik”.

Riwayat al-Tirmidzi, 2035

Ulama Mati Bersama Ilmunya

Daripada Abdillah bin Amru bin al-As R.Anhuma katanya: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.”

Riwayat al-Bukhari, 100

– Ilmu merupakan kurniaan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya.

– Cara ilmu dicabut ialah dengan kematian ulama.

– Kematian ulama dianggap sebagai musibah yang besar kerana ulama adalah pewaris nabi dan pelita bagi umat Islam.

– Ilmu tidak boleh diwarisi seperti mana harta, sebaliknya perlu dipelajari dan ditekuni dengan bersungguh-sungguh.

– Oleh itu setiap penuntut ilmu perlu bersedia untuk mewarisi ilmu itu dan menyampaikan kepada generasi berikutnya sebagai kesinambungan keilmuan yang utama dalam kehidupan manusia.

Golongan Mati Syahid

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi ﷺ bersabda:

الشُّهَداءُ خَمْسَةٌ: المَطْعُونُ، والمَبْطُونُ، والغَرِيقُ، وصاحِبُ الهَدْمِ، والشَّهِيدُ في سَبيلِ اللَّهِ

Maksudnya : Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun (wabak), mati kerana penyakit perut, mati lemas, mati ditimpa runtuhan dan mati syahid di jalan Allah.

Riwayat al-Bukhari, 2829

Segala Amal Kebajikan Pasti Akan Dibalas Oleh Allah SWT

Firman Allah SWT:

وَمَا تُقَدِّمُوا لأِنْفُسِكُمْ مِنْ خَيْرٍ تَجِدُوْهُ عِنْدَ اللهِ هُوَ خَيْرًا وَّأَعْظَمَ أَجْرًا

Yang bermaksud: “Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya di sisi Allah sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya.”

Surah Al-Muzzammil: 20

Kelebihan Orang Yang Berwudhu’

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّ أُمَّتِي يُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيَامَةِ غُرًّا مُحَجَّلِينَ مِنْ آثَارِ الوُضُوءِ، فَمَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يُطِيلَ غُرَّتَهُ فَلْيَفْعَلْ

Maksudnya: “Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari Kiamat dengan dahi, tangan dan kaki yang berseri-seri disebabkan daripada kesan-kesan wudhu’. Barangsiapa yang mampu daripada kalangan kamu untuk melebihkan dahinya maka lakukanlah ia.”

Riwayat al-Bukhari, 136