Menepuk Bantal Sebelum Tidur

Orang dulu-dulu selalu pesan, “tepuk bantal dulu sebelum tidur”.
Apakah signifikannya perbuatan ini?

Alhamdulillah, sebenarnya petua ini ialah termasuk di dalam sunnah Rasulullah ﷺ. Mungkin sukar untuk kita percaya hal ini kerana selama ini sunnah ini hanya disebutkan sebagai ‘petua orang lama’.

Dalil :

Namun, disertakan di sini dalilnya daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu, katanya Rasulullah ﷺ bersabda,

إِذَا أَوَى أَحَدُكُمْ إِلَى فِرَاشِهِ، فَلْيَأْخُذْ دَاخِلَةَ إِزَارِهِ، فَلْيَنْفُضْ بِهَا فِرَاشَهُ، وَلْيُسَمِّ اللهَ، فَإِنَّهُ لَا يَعْلَمُ مَا خَلَفَهُ بَعْدَهُ عَلَى فِرَاشِهِ، فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَضْطَجِعَ، فَلْيَضْطَجِعْ عَلَى شِقِّهِ الْأَيْمَنِ، وَلْيَقُلْ : سُبْحَانَكَ اللهُمَّ رَبِّي بِكَ وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي، فَاغْفِرْ لَهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya : “Sekiranya salah seorang daripada kamu mendatangi tempat tidurnya, hendaklah dia mengambil (memegang) bahagian dalam kainnya, kemudian mengibas tempat tidurnya dengan kain tersebut serta sebutlah nama Allah (iaitu membaca Bismillah), kerana sesungguhnya tidak ada seorang pun yang tahu apa yang terjadi setelah dia meninggalkan tempat tidurnya. Sekiranya dia mahu berbaring, berbaringlah di sebelah rusuk kanannya dan berdoa; Maha suci Engkau, Ya Allah Wahai Tuhanku, dengan namaMu aku berbaring, dan dengan namaMu aku angkat pinggangku. Jika Engkau menahan nyawaku, maka berilah keampunan kepadanya dan jika Engkau melepaskannya, maka peliharalah sebagaimana hamba-hambaMu yang soleh.”
Riwayat Muslim (2714)

Kesimpulan :
Rupa-rupanya perbuatan ringkas ini ialah termasuk daripada sunnah Nabi ﷺ yang sering ditinggalkan. Hikmah tambahan daripada perbuatan mengikuti sunnah ini ialah,

  • Mendapat pahala sunnah dengan mudah.
  • Dapat membersihkan tempat tidur dari kekotoran.
  • Menghalau haiwan atau serangga yang mungkin kita tidak nampak berada di atas bantal.
  • Mengenepikan apa sahaja bahan yang boleh membahayakan di atas tempat tidur.
  • Menambah empukkan bantal

Wallahualam