Melihat Anak Bulan Zulhijah, Ikut Malaysia Atau Mekah ?

Masuknya bulan Zulhijah apabila nampak anak bulannya.

Cuma ada perbahasan dalam kalangan para ulama berkenaan isu perbezaan masa terbit anak bulan (ikhtilaf al-matalik) sama ada penampakan anak bulan di satu tempat boleh diguna pakai untuk tempat-tempat lain atau tidak.

Majoriti para ulama berpendirian bahawa perbezaan masa terbit anak bulan tidak memberi apa-apa kesan maka penampakan anak bulan di sesebuah tempat terpakai di semua tempat lain.

Contohnya sekiranya anak bulan kelihatan di tempat A maka keesokan harinya adalah tanggal satu hari bulan Hijrah di seluruh dunia tidak kira sama ada bulan Ramadan, Zulhijah atau mana-mana bulan Hijrah lain.

Ini berdasarkan keumuman sabda Nabi ﷺ:

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا الْعِدَّةَ.

“Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan dan berbukalah kamu apabila kamu melihatnya. Dan sekiranya terdapat awan yang menghalang maka genapkanlah hitungan (30 hari).”

(Sahih. Riwayat Muslim)

Jelasnya Nabi ﷺ tidak memberi sebarang pengecualian dalam hadis di atas mahupun membangkitkan soal perbezaan masa terbit anak bulan (ikhtilaf al-matalik).

Sebahagian ulama lain pula berpandangan bahawa setiap negara mengikuti rukyah masing-masing dan tidak terikat dengan rukyah negara-negara lain.

Ini berdasarkan riwayat Ibnu Abbas radiallahuanhu:

قال كُرَيْبٍ: قَدِمْتُ الشَّامَ وَاسْتُهِلَّ عَلَيَّ رَمَضَانُ وَأَنَا بِالشَّامِ فَرَأَيْتُ الْهِلَالَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ ثُمَّ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فِي آخِرِ الشَّهْرِ. فَسَأَلَنِي عَبْدُ الله بنِ عَبَّاسٍ – ثُمَّ ذَكَرَ الْهِلَالَ – فَقَالَ: مَتَى رَأَيْتُمُ الْهِلَالَ فَقُلْتُ: رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ. فَقَالَ: أَنْتَ رَأَيْتَهُ؟ فَقُلْتُ: نَعَمْ وَرَآهُ النَّاسُ وَصَامُوا وَصَامَ مُعَاوِيَةُ. فقال: لَكِنَّا ‌رَأيْنَاهُ ‌لَيْلَةَ ‌السَّبْتِ فَلا نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ ثَلَاثِينَ أَوْ نَرَاهُ. فَقُلْتُ: أَوَ لَا تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ؟ فَقَالَ: لَا. هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

“Kata Kuraib: Aku ke negeri Syam dan sampai di sana apabila masuk bulan Ramadan. Aku melihat anak bulan pada malam jumaat. Setelah itu aku ke Madinah dan sampai pada hujung bulan Ramadan. Ibnu Abbas bertanya kepadaku “Bilakah engkau melihat anak bulan (Ramadan)?” Aku menjawab “Pada malam Jumaat.” Ibnu Abbas bertanya lagi “Engkau yang melihatnya?” Aku menjawab “Ya, dan orang lain pun sama lalu mereka berpuasa dan Muawiyah pun turut berpuasa.” Ibnu Abbas berkata “Tetapi kami melihatnya pada malam Sabtu dan kami akan terus berpuasa sampai genap 30 hari, melainkan jika kami melihat anak bulan Syawal sebelumnya.” Aku bertanya “Mengapakah engkau tidak memadai dengan anak bulan yang dilihat oleh Muawiyah serta puasanya?” Jawab Ibnu Abbas “Inilah yang diperintahkan ke atas kami oleh Rasulullah ﷺ.”

(Sahih. Riwayat Muslim)

Jelasnya dalam riwayat di atas Ibnu Abbas tetap mengikuti rukyah di negeri tempat tinggalnya iaitu Madinah dan beliau tidak mengambil kira rukyah di negeri Syam.

Pada hari ini pendapat inilah yang diguna pakai di kebanyakan negara-negara Islam di mana masing-masing mengikuti rukyah di negara masing-masing.

Dan kaedah syarak menyatakan bahawa ketetapan pemerintah (hakim) mengangkat khilaf.

Apa yang pasti, tiada mana-mana pendapat ulama yang mewajibkan umat Islam mengikuti rukyah di negara-negara tertentu sama ada Arab Saudi ataupun yang lain.

Tetapi sebahagian pihak jadi keliru apabila masuk bulan Zulhijah lalu isu puasa dan doa pada hari Arafah timbul sehingga mereka mendakwa bahawa umat Islam perlu berpuasa Arafah mengikut hari umat Islam melaksanakan ibadah wukuf di Arafah, Arab Saudi.

Alasan mereka ialah kerana puasa Arafah merujuk kepada umat Islam berwukuf di Arafah, Arab Saudi maka secara logiknya hari puasanya juga perlu pada hari yang sama.

Ada yang menambah sehingga menetapkan waktu afdal berdoa pada hari Arafah juga perlu ikut masa di Mekah sewaktu jemaah haji melaksanakan wukuf di Arafah, Arab Saudi.

Ini semua keliru lagi mengelirukan dan termasuk dalam erti ghuluw (berlebih-lebihan) dan tanattu’ (menyusah-nyusahkan).

Sebetulnya umat Islam berpuasa hari Arafah mengikut ketetapan di negara masing-masing, dan sebagaimana ibadah puasa bermula dari terbit fajar al-sadiq hingga terbenam matahari di tempat masing-masing (bukan mengikut waktu siang di Mekah) maka demikian jugalah waktu afdal berdoa pada hari Arafah ialah mengikut waktu tempatan dan bukan waktu Mekah.

Kesimpulannya, penetapan larangan memotong kuku dan rambut bagi yang hendak berkorban yang bermula dari awal 1 Zulhijjah, puasa Arafah, waktu afdal berdoa pada hari Arafah, Hari Raya Aidiladha dan hari-hari sembelihan korban (10-13 Zulhijah) ialah mengikut takwim di negara masing-masing dan bukan takwim Mekah, Arab Saudi.

CATATAN

Individu yang mengambil satu bahagian korban mewakili ahli keluarga di bawah tanggungannya.

Walau bagaimanapun, tegahan memotong kuku dan rambut adalah khas buat individu yang hendak berkorban, dan tidak termasuk ahli keluarga yang diwakilinya.