“Sedap hingga menjilat jari”, itulah slogan yang dibawakan oleh beberapa syarikat rantaian makanan ketika mengiklankan produk mereka. Tahukah anda sebenarnya Nabi ﷺ kesayangan kita juga menyuruh kita untuk menjilat jari selepas makan.
Hal ini sebagaimana dalil,
إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَمْسَحْ يَدَهُ حَتَّى يَلْعَقَهَا أَوْ يُلْعِقَهَا
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu makan, maka janganlah dia menyapu tangannya melainkan setelah dia menjilatnya atau dijilatnya.”
(Riwayat al-Bukhari, 5456 dan Muslim, 2031)
Mungkin ada yang malu atau segan untuk menjilat jari mereka ditempat awam terutamanya di kedai makan. Namun, sepatutnya kita tidak perlu malu dalam melakukan sunnah.
Menormalisasikan sunnah ialah tanggungjawab Muslim. Jilatlah jari selepas makan dengan sopan (tidak dilakukan secara gelojoh). Semoga sunnah kecil ini memberikan ganjaran yang besar kepada kita insyaallah.