Hak-Hak yang Wajib Ditunaikan oleh Setiap Muslim Kepada Saudaranya

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ قِيلَ: مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللهِ؟، قَالَ: إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ، وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ، وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ، وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللهَ فَسَمِّتْهُ، وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ

Maksudnya: “Hak muslim ke atas muslim enam perkara: Dikatakan (sahabat bertanya): Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW berkata: Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam ke atasnya. Apabila kamu diundang maka penuhilah. Apabila dia meminta nasihat kepadamu, maka berilah nasihat kepadanya. Apabila bersin, maka ucapkanlah hamdalah serta balaslah (dengan doa: يرحمك الله). Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia. Apabila dia meninggal, maka hantarlah jenazahnya ke kubur.”

Riwayat Muslim (2162)

  • Rasulullah ﷺ menjelaskan enam hak setiap Muslim yang selayaknya ditunaikan oleh saudara Muslimnya. Jika inginkan orang lain menunaikan tanggungjawab memenuhi hak terhadap diri, maka kita perlu terlebih dahulu memastikan bahawa diri tidak pernah mengabaikan hak Muslim lain.
  • Jika diperhatikan kepada enam hak yang dinyatakan oleh Rasulullah ﷺ dalam hadis tersebut, ternyata setiap Muslim mampu menggalas tanggungjawab menyempurnakan hak orang lain. Tidak kira seseorang itu kaya mahupun miskin, setiap orang mampu memenuhi hak Muslim lain kerana semua perkara tersebut adalah perkara yang mampu dibuat oleh setiap orang.
  • Semoga kita mampu laksanakan kewajipan kita dengan menjaga hubungan sesama manusia serta menunaikan hak masing-masing.