Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, dari Nabi ﷺ baginda bersabda:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ ” . قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً . قَالَ ” إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat sifat takbur (kesombongan) sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.”
Riwayat Muslim (91)
- Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa sifat takbur sangat dimurkai Allah SWT. Orang yang takbur akan dimasukkan ke dalam api neraka walaupun sifat itu hanya sedikit pada dirinya.
- Allah SWT telah mengusir Iblis dari syurga kerana sifat takburnya. Iblis tidak mahu mengikut perintah Allah agar sujud hormat kepada Nabi Adam.
- Janganlah merasa sombong hingga memakan diri. Tidak rugi seseorang itu menjadi manusia yang sentiasa merendah diri.