Jadilah Pemberi Bukan Peminta

Daripada Hakim bin Hizam RA dari Nabi ﷺ bersabda:

الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ وَخَيْرُ الصَّدَقَةِ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللَّهُ وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ

Maksudnya: “Tangan yang diatas lebih baik dari pada tangan yang di bawah, maka mulailah untuk orang-orang yang menjadi tanggunganmu dan sedekah yang paling baik adalah dari orang yang sudah cukup (untuk keperluan dirinya). Maka barangsiapa yang berusaha memelihara dirinya, Allah akan memeliharanya dan barangsiapa yang berusaha mencukupkan dirinya maka Allah akan mencukupkannya”.

Riwayat al-Bukhari, 1338

Tanda-Tanda Kecil Kiamat

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ العِلْمُ، وَتَكْثُرَ الزَّلاَزِلُ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ، وَتَظْهَرَ الفِتَنُ، وَيَكْثُرَ الهَرْجُ

Maksudnya: “Tidak akan berlakunya Kiamat sehingga diangkat ilmu, banyaknya berlaku gempa, masa berlalu dengan pantas, terzahirnya fitnah-fitnah dan banyaknya pembunuhan.”

Riwayat al-Bukhari, 1036

Mencegah Kemungkaran

Daripada abu Sa’id al Khudri RA berkata, aku mendengar Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.”

Riwayat Muslim, 78

Hutang Dibayar Dengan Pahala

Daripada Ibnu Umar RA ia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ دِينَارٌ أَوْ دِرْهَمٌ قُضِيَ مِنْ حَسَنَاتِهِ لَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلَا دِرْهَمٌ

Maksudnya: “Barang siapa meninggal dunia sementara ia mempunyai tanggungan hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diganti dari pahala kebaikannya pada hari yang dinar dan dirham tidak berguna lagi.”

Sahih Riwayat Ibnu Majah: 2414

  • Hutang berkait dengan hak manusia, maka hutang tidak dapat ditebus dengan taubat dan istigfar. Tidak juga dengan solat dan haji. Hutang hanya boleh dibayar sesuai dengan hutangnya. Selagi belum dibayar, maka hutang akan terus mengikut seseorang bahkan selepas ia mati.
  • Berusahalah menjelaskan hutang sebelum kita meninggal dunia.

Doa Diberikan Hidayah

Daripada Abdullah (Abdullah bin Mas’ud) daripada Nabi ﷺ bahawasanya baginda ﷺ pernah berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, al-iffah (terhindar daripada perbuatan yang tidak baik) dan kecukupan (tidak meminta-minta).”

Riwayat Muslim, 2721

Berbakti Kepada Ibubapa

Daripada Abu Ad Darda dia mendengar Nabi ﷺ bersabda:

الْوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ فَأَضِعْ ذَلِكَ الْبَابَ أَوْ احْفَظْهُ

Maksudnya: “Orang tua ibarat penengah pintu-pintu syurga, oleh kerana itu letakkanlah ia atau jagalah ia baik-baik.”

Hadis Sahih Sunan Ibnu Majah, 3653

  • Ibu bapa ibarat pintu syurga bagi setiap anak.
  • Berbaktilah sebaik mungkin kepada kedua ibu bapa sama ada mereka masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia (dengan mendoakannya).

Mukmin Umpama Pohon Muda

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِ كَمَثَلِ خَامَةِ الزَّرْعِ يَفِيءُ وَرَقُهُ مِنْ حَيْثُ أَتَتْهَا الرِّيحُ تُكَفِّئُهَا فَإِذَا سَكَنَتْ اعْتَدَلَتْ وَكَذَلِكَ الْمُؤْمِنُ يُكَفَّأُ بِالْبَلَاءِ وَمَثَلُ الْكَافِرِ كَمَثَلِ الْأَرْزَةِ صَمَّاءَ مُعْتَدِلَةً حَتَّى يَقْصِمَهَا اللَّهُ إِذَا شَاءَ

Maksudnya: “Perumpamaan orang mukmin adalah ibarat sebatang tanaman yang muda lembut yang melambai-lambai daunnya, bergoyang apabila ditiup angin. Apabila berhenti angin daripada bertiup maka dia berdiri tegak. Demikian keadaan seorang mukmin, kadang-kadang dicondongkan (sentiasa diuji) dengan bala atau ujian. Sebaliknya perumpamaan orang kafir bagaikan pohon kayu jati yang keras yang berdiri tegak (tidak bergerak-gerak) hingga Allah (dengan mudah) mematahkannya (membinasakannya) bila Allah menghendakinya.”

Riwayat al-Bukhari, 7466

  • Setiap Mukmin akan melalui pelbagai ujian dan dugaan dalam hidup.
  • Untuk menjadi mukmin sebenar, mesti melalui ujian dan cabaran dengan sabar dan redha di atas ketetapan qada dan qadar.
  • Dalam masa yang sama, melalui ujian dan bencana inilah dapat diketahui kekuatan, keyakinan dan kesabaran seseorang kepada Allah.
  • Semoga kita diberi kekuatan untuk menjadi mukmin yang tahan diuji dan sabar menghadapi ujian dan musibah.

Ujian Allah Mengikut Kemampuan Kita

Rasulullah ﷺ bersabda:

أَشَدُّ النَّاسِ بَلَاءً الْأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الصَّالِحُونَ ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ لَهُ فِي الْبَلَاء

Maksudnya: “Manusia yang paling berat ujiannya adalah para Nabi, kemudian orang-orang yang Soleh, kemudian diikuti oleh orang-orang yang mulia, dan disusuli oleh orang-orang yang mulia berikutnya. Seseorang hamba akan diuji sesuai kadar agamanya (keimanannya). Jika keimanannya kuat maka ujiannya juga akan semakin berat.”

Sahih Riwayat Tirmidzi, 3298

  • Sesungguhnya, manusia itu hanya akan diuji sesuai mengikut kemampuannya. Sehebat mana pun sesuatu ujian itu, sesukar mana pun ia di mata kita, percayalah bahawa kita sebenarnya mampu untuk menghadapinya.

Jangan Berbuat Zalim Dan Bakhil

Daripada Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah ﷺ bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالظُّلْمَ فَإِنَّ الظُّلْمَ ظُلُمَاتٌ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُحْشَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفُحْشَ وَالتَّفَحُّشَ وَإِيَّاكُمْ وَالشُّحَّ فَإِنَّهُ دَعَا مَنْ قَبْلَكُمْ فَاسْتَحَلُّوا مَحَارِمَهُمْ وَسَفَكُوا دِمَاءَهُمْ وَقَطَّعُوا أَرْحَامَهُمْ

Maksudnya: “Janganlah kalian berbuat zalim, kerana kezaliman akan menjadi kegelapan pada hari kiamat di sisi Allah, janganlah berbuat keji kerana Allah tidak suka kekejian dan perbutan keji, janganlah berbuat kikir, kerana itu yang menyebabkan kerosakan orang-orang sebelum kalian, sehingga mereka menghalalkan kehormatan, menumpahkan darah dan memutus hubungan silaturahim mereka.”

Sahih Riwayat Ahmad, 9202

  • Muslim dilarang melakukan kezaliman kepada dirinya dan orang lain.
  • Muslim juga dilarang bersifat kikir atau bakhil. Bakhil adalah buah dan akibat dari kecintaan kepada dunia.
  • Semoga kita dijauhkan daripada memiliki sifat zalim, keji dan bakhil.

Dosa Besar Menderhaka Kepada Ibu Bapa

Daripada Anas RA berkata; Nabi ﷺ ditanya tentang dosa-dosa besar. Maka baginda bersabda:

الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَقَتْلُ النَّفْسِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ

Maksudnya: “Menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua orang tua, membunuh orang dan bersumpah palsu”.

Riwayat Al-Bukhari, 2459

  • Dosa besar ialah kesalahan yang dijanjikan azab yang pedih jika pelakunya tidak melakukan taubat nasuhah hingga diampunkan dosanya oleh Allah.
  • Derhaka kepada ibu bapa merupakan dosa besar kedua selepas dosa perbuatan syirik. Semoga kita menjauhi dosa-dosa besar ini.