Akhlak Seseorang Bergantung Akhlak Temannya

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi ﷺ bersabda:

الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

Maksudnya: “Seorang laki-laki itu bergantung dengan agama teman pergaulannya (sahabat rapat), maka hendaklah salah seorang melihat siapa yang menjadi teman pergaulan.”

(Hasan Sahih Riwayat Abu Daud, 4833)

  • Keperibadian seseorang berkait rapat dengan kebiasaan teman atau sahabat baik yang ia sering bergaul (tingkah lakunya sering dipengaruhi oleh tingkah laku dan gaya hidup teman rapatnya).
  • Setiap ibu bapa perlu meneliti akhlak dan peribadi teman rapat anaknya. Jika teman pergaulan anaknya berakhlak buruk, perlu segera dijauhi.
  • Oleh itu, perbanyakkanlah rakan-rakan yang beriman, sesungguhnya mereka memiliki syafaat di hari kiamat.

Ganjaran Membaca Al-Quran

Daripada `Aisyah R.Anha, Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ

Maksudnya: Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan sentiasa taat kepada Allah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.

(Riwayat Muslim, 798)

  • Hadis ini memberikan motivasi kepada umatnya untuk terus belajar dan membaca Al-Quran, walaupun masih merangkak-merangkak.
  • Oleh itu, marilah sama-sama menjadikan Al-Quran sebagai bacaan harian yang wajib kita baca.

Adab Menguap

Daripada Abu Hurairah RA, Daripada Nabi ﷺ bersabda:

إنَّ اللَّهَ يُحِبُّ العُطاسَ، ويَكْرَهُ التَّثاؤُبَ، فإذا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ، فَحَقٌّ علَى كُلِّ مُسْلِمٍ سَمِعَهُ أنْ يُشَمِّتَهُ، وأَمَّا التَّثاؤُبُ: فإنَّما هو مِنَ الشَّيْطانِ، فَلْيَرُدَّهُ ما اسْتَطاعَ، فإذا قالَ: ها، ضَحِكَ منه الشَّيْطانُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan tidak menyukai menguap. Apabila seseorang bersin hendaklah dia memuji Allah. Merupakan satu tanggungjawab ke atas setiap Muslim yang mendengarnya untuk mendoakan kerahmatan untuknya. Adapun menguap, sesungguhnya ia daripada syaitan. Hendaklah seseorang menahannya semampu mungkin. Apabila dia mengeluarkan bunyi ‘Haa’, syaitan akan mentertawakannya.”

Riwayat al-Bukhari, 6223

  • Bersin adalah daripada Allah SWT dan menguap adalah daripada syaitan.
  • Apabila seseorang menguap, hendaklah dia meletakkan tangan di atas mulutnya.

Ringan Di Lisan, Berat Di Timbangan

Dari Abu Hurairah RA, dia berkata, Nabi ﷺ bersabda;

كَلِمَتَانِ حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ ، خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ، ثَقِيلَتَانِ فِى الْمِيزَانِ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ

Maksudnya: “Dua kalimat yang dicintai oleh Ar Rahman, ringan diucapkan di lisan, namun berat dalam timbangan (amalan) iaitu subhanallahi wa bihamdih, subhanallahil ‘azhim (Maha Suci Allah, segala pujian untuk-Nya. Maha Suci Allah Yang Maha Mulia).”

Riwayat al-Bukhari, 7563

Doa Dalam Diam

Daripada Safwan bin Abdillah RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Maksudnya: “Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”.

(Riwayat Muslim, 4914)

  • Islam sangat menggalakkan setiap umatnya agar sentiasa berdoa kepada saudaranya.
  • Kita dituntut untuk mendoakan perkara-perkara kebaikan kepada saudara kita.
  • Doa seorang hamba tanpa pengetahuan saudaranya adalah mustajab di sisi Allah SWT.
  • Setiap apa yang kita doakan, Allah SWT juga akan mengurniakan kepada kita sama seperti yang kita doakan.

Zikir Penghapus Dosa Sebanyak Buih Di Lautan

Daripada Abu Hurairah, daripada Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ سَبَّحَ اللَّهَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَحَمِدَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَكَبَّرَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ فَتْلِكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَقَالَ تَمَامَ الْمِائَةِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ غُفِرَتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Maksudnya: “Barang siapa bertasbih kepada Allah selepas solat sebanyak 33 kali, dan bertahmid kepada Allah 33 kali, dan bertakbir kepada Allah 33 kali, hingga semuanya berjumlah 99,” dan baginda menambah: “Kesempurnaan 100 adalah membaca: Laa ilaaha illallah wahdahu laa syariika lahu, lahul mulku walahul walahul hamdu wahuwa ‘alaa kulli syai’in qadiir, maka kesalahannya akan diampunkan walau sebanyak buih di lautan.”

(Riwayat Muslim, 597)

  • Antara amalan yang digalakkan selepas solat fardu ialah membaca Tasbih (Subhaanallah) sebanyak 33 kali, Tahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan Takbir (Allahu Akbar) sebanyak 33 kali.
  • Bagi menjadikan zikir tersebut sempurna, zikir terakhir (ke 100) dibaca sekali:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

  • Sesiapa yang menyempurnakan zikir di atas dengan ikhlas, dosanya akan diampunkan walaupun sebanyak buih di lautan (dosa kecil).
  • Semoga kita istiqamah untuk mengamalkan zikir selepas solat fardhu.

Membela Uban

Ada orang yang mungkin malu dengan ubannya yang putih di atas kepala. Sehingga ada diantara mereka yang meminta anak mereka untuk mencabutnya dengan upah tertentu seperti 10 sen untuk sehelai uban yang tercabut.

Mungkin ada yang menilai uban dengan harga 10 sen sedangkan harganya jauh lebih tinggi dari itu. Kalau lah kita tahu nilai sebenar uban, maka pastilah kita tidak akan mahu pun mencabutnya dari kepala kita.

Tahukah anda uban kita akan bercahaya di hari kiamat?

Continue reading Membela Uban