Doa untuk Ketetapan Iman

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hatiku dalam memegang teguh agama-Mu.”

Riwayat at-Tirmizi (2140)

  • Manusia memang tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Hati manusia sifatnya mudah berubah-ubah, dan oleh itu, kita perlu sentiasa memohon kepada Allah agar diberikan ketetapan hati dalam ketaatan kepada-Nya.
  • Dengan usaha yang berterusan, doa yang ikhlas, dan tawakal kepada Allah, insyaAllah hati kita akan tetap teguh dalam ketaatan. Semoga kita semua diberi kekuatan untuk hidup dalam iman dan mati dalam iman. Amin.

Bersin Sebagai Syukur, Menguap Sebagai Ujian

Daripada Abu Hurairah RA, Daripada Nabi ﷺ bersabda:

إنَّ اللَّهَ يُحِبُّ العُطاسَ، ويَكْرَهُ التَّثاؤُبَ، فإذا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ، فَحَقٌّ علَى كُلِّ مُسْلِمٍ سَمِعَهُ أنْ يُشَمِّتَهُ، وأَمَّا التَّثاؤُبُ: فإنَّما هو مِنَ الشَّيْطانِ، فَلْيَرُدَّهُ ما اسْتَطاعَ، فإذا قالَ: ها، ضَحِكَ منه الشَّيْطانُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan tidak menyukai menguap. Apabila seseorang bersin hendaklah dia memuji Allah. Merupakan satu tanggungjawab ke atas setiap Muslim yang mendengarnya untuk mendoakan kerahmatan untuknya. Adapun menguap, sesungguhnya ia daripada syaitan. Hendaklah seseorang menahannya semampu mungkin. Apabila dia mengeluarkan bunyi ‘Haa’, syaitan akan mentertawakannya.”

Riwayat al-Bukhari (6223)

  • Bersin adalah tanda nikmat dan kesihatan yang diberikan oleh Allah, maka dianjurkan untuk memuji-Nya dengan mengucapkan “Alhamdulillah” sebagai tanda kesyukuran.
  • Islam menganjurkan adab sosial dengan mendoakan kebaikan kepada mereka yang bersin, iaitu mengucapkan “Yarhamukallah” dan membalasnya dengan ucapan doa yang baik.
  • Menguap adalah perbuatan yang tidak disukai kerana ia berasal daripada syaitan. Oleh itu, seorang Muslim harus berusaha menahannya dan menjaga adab seperti menutup mulut.

Hingga Saat Akhir

Rasulullah ﷺ bersabda:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: “Tidak sempurna iman salah seorang dari kalian hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.”

Sahih Riwayat al-Bukhari (13)

  • Keluarga dan sahabat adalah antara nikmat Allah yang terindah dalam hidup ini. Mereka adalah sumber kekuatan, kasih sayang, dan sokongan yang sering kali menjadi penawar ketika kita menghadapi cabaran.
  • Jagalah mereka, genggam mereka erat erat dan hargailah mereka selagi mereka masih ada.

Rejab: Bulan Persediaan dan Penghayatan Ibadah

Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِنَّ الزَّمَانَ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا، أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ، ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ ‏‏.‏

Maksudnya: “Sesungguhnya waktu telah berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada dua belas bulan, di antaranya terdapat empat bulan haram, tiga berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram, serta Rejab Mudhar yang terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban.”

(Riwayat al-Bukhari, no. 4662; Muslim, no. 1679)

  • Bulan haram adalah bulan-bulan yang diberi kemuliaan dan keistimewaan tertentu oleh Allah SWT. Kemuliaan ini berasal sejak zaman Nabi Ibrahim AS dan diteruskan dalam syariat Islam.
  • Rejab adalah satu-satunya bulan haram yang tidak berturutan dengan tiga bulan haram lain (Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram). Hal ini menjadikan bulan ini istimewa dalam susunan bulan Islam.
  • Rejab adalah bulan ketujuh dalam kalendar hijrah dan berada dua bulan sebelum Ramadan. Ia sering dianggap sebagai waktu untuk memperbaiki amalan dan mempersiapkan diri menyambut bulan Ramadan.
  • Bulan Rejab adalah peluang untuk umat Islam memperbaiki diri dan mempersiapkan hati menyambut Ramadan yang semakin hampir. Walaupun tiada keutamaan khusus yang disebut dalam hadith sahih, bulan ini tetap wajar dimuliakan berdasarkan statusnya sebagai salah satu bulan haram.

Amal Paling Utama

عَنْ أَبِي عَمْرٍو الشَّيْبَانِيِّ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِابْنِ مَسْعُودٍ أَيُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ قَالَ سَأَلْتُ عَنْهُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ الصَّلَاةُ عَلَى مَوَاقِيتِهَا قُلْتُ وَمَاذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَبِرُّ الْوَالِدَيْنِ قُلْتُ وَمَاذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَالْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Daripada Abu ‘Amru Asy Syaibani bahawa seorang lelaki berkata kepada Ibnu Mas’ud, “Amal apakah yang paling utama?” ia berkata; “Aku pernah bertanya Rasulullah SAW tentang hal itu, maka baginda pun menjawab: “Solat pada waktunya, ” aku bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, lalu apa lagi?” baginda menjawab: “Berbuat baik kepada kedua orang tua, ” aku bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, lalu apa lagi?” baginda menjawab: “Jihad di jalan Allah.”

Riwayat at-Tirmidzi (173)

  1. Solat pada waktunya – Menunaikan solat pada waktu yang telah ditetapkan adalah amalan yang paling utama. Solat merupakan tiang agama dan menegakkan solat pada waktunya adalah tanda keimanan yang kuat dan ketaatan kepada perintah Allah SWT.
  2. Berbuat baik kepada kedua orang tua – Berbakti kepada ibu bapa adalah amalan yang sangat dihargai dalam Islam. Kebaikan dan penghormatan terhadap ibu bapa merupakan tanda kesyukuran dan penghormatan kepada mereka yang telah membesarkan dan mendidik kita.
  3. Jihad di jalan Allah – Jihad dalam konteks ini merujuk kepada usaha dan pengorbanan dalam mempertahankan agama dan kebenaran. Ini termasuk dalam pelbagai bentuk, baik melalui usaha fizikal, harta benda, mahupun ilmu dan doa.

Ujian adalah Sunnatullah

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi ﷺ bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا، إِلاَّ كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran, kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.”

Riwayat al-Bukhari (5642)

  • Hidup manusia tidak akan terlepas daripada ujian, sama ada berbentuk keletihan, penyakit, atau kesusahan. Ini adalah sunnatullah bagi setiap hamba.
  • Umat Islam diajar untuk melihat ujian sebagai satu bentuk kasih sayang Allah. Ia adalah peluang untuk memperbaiki diri dan membersihkan dosa.
  • Mengeluh terhadap ujian hanya akan menambah beban. Sebaliknya, bersyukur dan bersabar mampu meringankan hati dan mendekatkan diri kepada Allah.
  • Hidup di dunia ini penuh dengan cabaran. Tawakal kepada Allah dan bersabar adalah kunci untuk menghadapi segala kesukaran dengan tenang.
  • Ketika ditimpa ujian, seorang Muslim dianjurkan untuk kembali kepada Allah melalui doa, zikir, dan solat.

Qana’ah (Merasa Cukup)

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah ﷺ bersabda:

انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَإِنَّهُ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Lihatlah orang yang lebih rendah daripada kamu dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi darjatnya daripada kamu, itulah yang lebih baik supaya kamu tidak merendah-rendahkan nikmat Allah yang dikurniakan kepada kamu”.

Riwayat at-Tirmizi (2513)

  • Buatlah perbandingan nikmat yang kita miliki dengan orang lain yang tidak memilikinya, nescaya kita akan sentiasa bersyukur dan merasa cukup dengan apa yang kita ada.
  • Elakkan dari membuat perbandingan dengan orang yang lebih daripada kita kerana ianya akan menghilangkan rasa bersyukur malah akan mendatangkan rasa kecewa, sedih malah sentiasa berdengki dengan kelebihan pada orang lain.
  • Didiklah hati dengan sifat qana’ah (merasa cukup) kerana ia akan melatih diri menjadi hamba Allah yang bersyukur.

Berbakti Kepada Ibubapa

Daripada Abu Ad Darda dia mendengar Nabi ﷺ bersabda:

الْوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ فَأَضِعْ ذَلِكَ الْبَابَ أَوْ احْفَظْهُ

Maksudnya: “Orang tua ibarat penengah pintu-pintu syurga, oleh kerana itu letakkanlah ia atau jagalah ia baik-baik.”

Hadis Sunan Ibnu Majah (3663)

  • Anak diberikan pilihan untuk menjaga “pintu syurga” itu dengan berbuat baik kepada ibu bapa, atau mengabaikannya sehingga merugikan diri sendiri.
  • Kegagalan berbakti kepada ibu bapa dianggap sebagai satu bentuk kerugian yang besar di dunia dan akhirat.
  • Berbaktilah sebaik mungkin kepada kedua ibu bapa sama ada mereka masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia (dengan mendoakannya).

Bahaya Sifat Sombong: Penghalang Ke Syurga

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Rasulullah ﷺ bersabda:

لَا يَدْخُلُ الجَنَّةَ مَنْ كَانَ في قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga sesiapa yang wujud sifat sombong di dalam hatinya meskipun sebesar zarah.”

Riwayat Muslim (91)

  • Hadis ini mengingatkan kita untuk sentiasa muhasabah dan memeriksa hati agar bebas daripada sifat sombong. Sifat ini sering tidak disedari, terutama dalam bentuk halus seperti meremehkan pandangan orang lain atau merasa diri lebih baik.
  • Islam menganjurkan sifat tawaduk (rendah hati) sebagai lawan kepada sifat sombong. Rasulullah ﷺ sendiri adalah contoh terbaik dalam bersikap tawaduk walaupun baginda merupakan manusia paling mulia.
  • Semoga kita dijauhkan daripada sifat sombong dan diberi kekuatan untuk mengamalkan sifat tawaduk dalam kehidupan.

A perfect Wudu’ (ablution) wipes away sins

Uthman b. ‘Affan reported: The Messenger of Allah (way peace be upon him) said:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ خَرَجَتْ خَطَايَاهُ مِنْ جَسَدِهِ حَتَّى تَخْرُجَ مِنْ تَحْتِ أَظْفَارِهِ ‏

He who performed ablution well, his sins would come out from his body, even coming out from under his nails.

Sahih Muslim (245)

  • Wudu’ is not merely a requirement for the validity of prayer but also an act of worship with great virtues. When performed with the right intention and perfection, it becomes a means of cleansing oneself from minor sins.
  • Perfecting the wudu’ means performing it with full attention, following the proper sequence, and adhering to the Sunnah. Diligence in wudu’ reflects love for Allah and the desire to attain His blessings.
  • May we always be granted the strength to perfect our wudu’ and make it an act of worship accepted by Allah SWT.