Solat Sunat Witir

Daripada Abdullah Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

اجْعَلُوا آخِرَ صَلاَتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا

Maksudnya: Jadikanlah solat witir sebagai solat terakhir kamu pada waktu malam.

Riwayat al-Bukhari, 998

  • Solat sunat witir ini merupakan salah satu amalan yang diamalkan oleh Rasulullah ﷺ. Solat sunat ini juga telah disebut dalam hadis yang mana bukti solat ini diamalkan oleh Rasulullah ﷺ.
  • Antara waktu yang boleh digunakan untuk melaksanakan solat sunat witir ini ialah:
  • Sebolehnya dilakukan pada waktu malam dan pada akhir solat malam.
  • Selepas solat isyak.
  • Boleh dilakukan sebelum mahupun sesudah bangun daripada tidur.
  • Tidak sah sekiranya dilakukan sebelum solat isyak.
  • Perlu selesai dilakukan sebelum tiba waktu subuh.

Doa Dipermudahkan Urusan Rezeki

Firman Allah SWT:

ٱللَّهُمَّ رَبَّنَآ أَنزِلۡ عَلَيۡنَا مَآئِدَةٗ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ تَكُونُ لَنَا عِيدٗا لِّأَوَّلِنَا وَءَاخِرِنَا وَءَايَةٗ مِّنكَۖ وَٱرۡزُقۡنَا وَأَنتَ خَيۡرُ ٱلرَّٰزِقِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada pada hari ini dan bagi orang yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadaMu serta kurniakanlah rezeki kepada kami kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki.”

Surah al-Ma’idah: 114

  • Jangan pernah berputus asa untuk berdoa kepada Allah SWT. Mungkin doamu tidak terjawab sekarang, tapi yang pasti Allah SWT tetap menjawabnya dengan jawapan yang terbaik pada saat paling tepat untukmu.

Doa Mohon Diampuni Dosa Silam

Firman Allah SWT:

رَبَّنَآ إِنَّنَآ ءَامَنَّا فَٱغۡفِرۡ لَنَا ذُنُوبَنَا وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami daripada azab neraka”.

Surah Ali-Imran: 16

  • Dosa atau maksiat adalah luka bukannya noda. Luka yang perlu diubati dengan Taubat, Istighfar dan kasih sayang dariNya.

Amalan Rasulullah ﷺ Sebelum Tidur

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ فَبَدَأَهُمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: “Daripada Aisyah RA bahawa biasanya Nabi ﷺ ketika berada di tempat tidur di setiap malam, baginda menyatukan kedua telapak tangannya lalu ditiup dan dibacakan ’Qul huwallahu ahad’ (surah Al Ikhlas), ’Qul a’udzu birobbil falaq’ (surah Al Falaq) dan ’Qul a’udzu birobbin naas’ (surah An Naas). Kemudian baginda mengusapkan kedua telapak tangan tadi pada anggota tubuh yang mampu dijangkau dimulai dari kepala, wajah, dan tubuh bahagian depan. Baginda melakukan yang demikian sebanyak tiga kali.”

Riwayat al-Bukhari, 5017

Doa Agar Sentiasa Bersyukur

Firman Allah SWT:

رَبِّ أَوۡزِعۡنِيٓ أَنۡ أَشۡكُرَ نِعۡمَتَكَ ٱلَّتِيٓ أَنۡعَمۡتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَيَّ وَأَنۡ أَعۡمَلَ صَٰلِحٗا تَرۡضَىٰهُ وَأَدۡخِلۡنِي بِرَحۡمَتِكَ فِي عِبَادِكَ ٱلصَّٰلِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah aku supaya tetap mensyukuri nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai, dan masukkanlah aku dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh.”

Surah An-Naml: 19

  • Kurangkan mengeluh hal-hal yang belum kamu perolehi setelah berdoa. Akan tetapi, fokus dan syukurilah seribu satu nikmat yang Allah SWT kurniakan secara percuma tanpa perlu kamu memintanya.

Doa Memohon Kesembuhan Dari Penyakit

Nabi Ayub a.s terkena penyakit teruk. Lalu baginda membaca 1 doa. Dengannya, Allah SWT datangkan kesembuhan. Firman Allah SWT:

وَأَيُّوبَ إِذۡ نَادَىٰ رَبَّهُۥٓ أَنِّي مَسَّنِيَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرۡحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ

Maksudnya: Dan (ingatlah peristiwa) nabi Ayub, ketika dia berdoa kepada Tuhannya dengan berkata: «Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah Yang Maha Pengasih daripada segala (yang lain) yang mengasihani».

Surah al-Anbiyaa: 83

Doa Di Pagi Hari

Daripada Ummu Salamah, katanya: bahawa Nabi ﷺ apabila Baginda solat Subuh, dan memberi salam, Baginda membaca:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah, 925

Doa Agar Diberi Bimbingan Selesaikan Masalah

Firman Allah SWT:

وَقُل رَّبِّ أَدۡخِلۡنِي مُدۡخَلَ صِدۡقٖ وَأَخۡرِجۡنِي مُخۡرَجَ صِدۡقٖ وَٱجۡعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلۡطَٰنٗا نَّصِيرٗا

Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): “Wahai Tuhanku! Masukkanlah aku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah aku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku”

Surah Al-Israa: 80

Rupa Paras Nabi Muhammad ﷺ

Daripada Rabi`ah bin Abdul Rahman, beliau mendengar Anas bin Malik RA berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ بِالطَّوِيلِ الْبَائِنِ، وَلَا بِالْقَصِيرِ، وَلَا بِالْأَبْيَضِ الْأَمْهَقِ، وَلَا بِالْآدَمِ، وَلَا بِالْجَعْدِ الْقَطَطِ، وَلَا بِالسَّبْطِ، بَعَثَهُ اللَّهُ تَعَالَى عَلَى رَأْسِ أَرْبَعِينَ سَنَةً، فَأَقَامَ بِمَكَّةَ عَشْرَ سِنِينَ، وَبِالْمَدِينَةِ عَشْرَ سِنِينَ، وَتَوَفَّاهُ اللَّهُ تَعَالَى عَلَى رَأْسِ سِتِّينَ سَنَةً، وَلَيْسَ فِي رَأْسِهِ وَلِحْيَتِهِ عِشْرُونَ شَعْرَةً بَيْضَاءَ

Maksudnya: “Rasulullah ﷺ bukanlah orang yang terlalu tinggi, namun bukan juga terlalu pendek, (kulitnya) tidak putih pucat juga tidak sawo matang, (rambutnya ikal) tidak terlalu kerinting dan tidak juga lurus. Baginda ﷺ diutus oleh Allah menjadi Rasul pada usia empat puluh tahun. Baginda ﷺ menetap di Mekah (sebagai Rasul) selama sepuluh tahun dan di Madinah juga selama sepuluh tahun. Baginda ﷺ diwafatkan oleh Allah dalam usia enam puluh tahun, dalam keadaan tidak sampai 20 helai uban yang terdapat di kepala dan janggutnya.”

Riwayat al-Bukhari, 3547

  • Kita tidak pernah dapat melihat apatah lagi bertemu dengan Nabi Muhammad ﷺ sebagaimana beruntungnya para Sahabat R. Anhum ajma’in.
  • Namun, kecintaan dan kekaguman yang tinggi para Sahabat terhadap Baginda telah dapat membawa kita kepada peluang untuk mengetahui serba sedikit rupa paras, fizikal serta sifat peribadi Nabi Muhammad ﷺ
  • Semoga Allah mengurniakan rasa cinta dan upaya kepada kita semua untuk ikut sunnah-sunnah Nabi ﷺ.

Ganjaran Orang Yang Menjaga Anak Yatim

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

كَافِلُ الْيَتِيمِ لَهُ أَوْ لِغَيْرِهِ أَنَا وَهُوَ كَهَاتَيْنِ فِي الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini (Nabi ﷺ mengisyaratkan dengan dua jari baginda ﷺ) di syurga”.

Riwayat Muslim, 2983

  • Baginda sangat memuliakan golongan yang menyantuni anak yatim sehingga Baginda menjanjikan, sesiapa sahaja yang menjaga anak yatim, maka dia akan dekat dengan Baginda pada hari akhirat kelak.
  • Jagalah amanah ini apabila kita dipilih oleh Allah SWT untuk menjaga atau memelihara mereka.
  • Semoga Allah SWT sentiasa memelihara anak-anak ini dan juga memelihara kita semua daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti, menganiayai dan menzalimi anak-anak ini.