Doa Agar Diampuni Dan Mendapat Rahmat Ilahi

Firman Allah SWT:

رَبَّنَآ ءَامَنَّا فَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَا وَأَنتَ خَيۡرُ ٱلرَّٰحِمِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; maka ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat.”

Surah al-Mu’minoon: 109

Semoga Allah SWT curahkan rahmat dalam bentuk:

  • Palingkan hati kita dari sukakan maksiat.
  • Bantu kita agar sentiasa bersemangat melakukan ketaatan.
  • Kurniakan hidup tenang dan hati yang lapang.
  • Izinkan kita menjejaki syurga sekeluarga.

Kejadian Gerhana Bukti Kekuasaan Dan Kebesaran Allah SWT

Daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah ﷺ telah bersabda :

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللهِ لَا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهَا فَافْزَعُوا لِلصَّلَاةِ وَقَالَ أَيْضًا فَصَلُّوا حَتَّى يُفَرِّجَ اللهُ عَنْكُمْ

Maksudnya: “Bahawasanya matahari dan bulan itu dua tanda daripada segala tanda-tanda yang menunjukkan keesaan dan kekuasaan Allah Taala, tiada gerhana keduanya kerana mati seseorang atau hidupnya, maka apabila kamu lihat akan demikian itu, maka hendaklah kamu sembahyang”, dan baginda bersabda: “maka sembahyanglah kamu hingga disingkap kembali oleh Allah kepada kamu semua (bulan dan matahari)”

Riwayat al-Bukhari (1058) dan Muslim (901)

Doa Mohon Dijauhi Fitnah Para Penzalim

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا لَا تَجۡعَلۡنَا فِتۡنَةٗ لِّلۡقَوۡمِ ٱلظَّٰلِمِينَ وَنَجِّنَا بِرَحۡمَتِكَ مِنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَٰفِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah bagi kaum yang zalim. Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu daripada angkara kaum yang kafir.”

Surah Yunus: 85-86

  • Asalnya, doa ini merupakan permintaan yang diungkapkan oleh kaum Nabi Musa a.s ketika mereka takutkan kezaliman Firaun. Alhamdulillah, Allah SWT makbulkan doa tersebut dengan menyelamatkan melalui peristiwa luarbiasa: laut terbelah.
  • Dari kisah tersebut kita sedar, ia pernah menyelamatkan ratusan ribu nyawa dari cengkaman penzalim.
  • Maka, jika kita berada dalam situasi dizalimi, bacalah doa ini setiap hari.

Manfaat Diri Sendiri

Firman Allah SWT:

فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُمۡ وَٱسۡمَعُواْ وَأَطِيعُواْ وَأَنفِقُواْ خَيۡرٗا لِّأَنفُسِكُمۡۗ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Maksudnya: Oleh itu bertakwalah kepada Allah sedaya upaya kamu dan dengarlah serta taatlah (perintahNya). Dan nafkahkanlah harta kamu untuk kebaikan diri kamu. Dan sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh sifat bakhil, maka mereka itulah orang yang berjaya.

Surah at-Taghaabun: 16

  • Manfaat pertama yang boleh dirasakan ketika bersedekah adalah pada diri pemberi sedekah itu. Mereka akan mula merasakan kepuasan dalam bersedekah di saat melihat yang dibantu tersenyum. Mereka akan rasa diri mereka menjadi lebih baik dengan bersedekah. Perasaan syukur itu dirasai dengan nikmat yang telah dimiliki lalu mereka ingin kongsikan pada yang lain.

Doa Agar Ditambah Baik Kebaikan Yang Dilakukan

Firman Allah SWT:

رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةٗ وَهَيِّئۡ لَنَا مِنۡ أَمۡرِنَا رَشَدٗا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah petunjuk yang benar dalam urusan kami.”

Surah al-Kahf: 10

  • Mengapa kadangkala kita sudah berbuat baik tetapi masih dibalas kejahatan? Sedarilah jika kita menanam padi, rumput pasti ikut tumbuh juga. Namun jika kita menanam rumput, pasti tidak ada padi tumbuh bersekali. Percayalah, dengan berbuat baik untuk meraih redhaNya, pasti hati kita lebih tenang.

Doa Mohon Dijauhi Azab Api Neraka

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا ٱصۡرِفۡ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, hindarkanlah azab neraka Jahannam daripada kami, sesungguhnya azabnya itu adalah mengerikan”.

Surah al-Furqan: 65

  • Belum tentu ahli maksiat masuk neraka dan belum pasti ahli ibadah masuk syurga. Ini kerana dosa boleh terhapus dengan kesungguhan taubat sementara pahala pula mudah terhapus dengan ujub dan riya’.
  • Mari kita lipat gandakan taubat dan istighfar. Mari kita tambah amal soleh dan ketaatan. Moga dengan semua itu, Allah SWT jauhi kita dari azab neraka dan diizinkan ke syurgaNya.

Larangan Mencela Orang

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”

(Riwayat al-Bukhari, 6018)

  • Rasulullah ﷺ sentiasa berpesan kepada kita agar menjaga tutur kata dan tidak menzalimi saudara kita dengan kata-kata yang menyakitkan.
  • Lidah seseorang dapat menggambarkan bagaimanakah hatinya.
  • Semoga Allah SWT memelihara lidah kita daripada mengucapkan perkataan yang boleh menyakiti saudara kita.

Doa Mohon Dikabulkan Hajat Dalam Hati

Firman Allah SWT:

رَبَّنَآ إِنَّكَ تَعۡلَمُ مَا نُخۡفِي وَمَا نُعۡلِنُۗ وَمَا يَخۡفَىٰ عَلَى ٱللَّهِ مِن شَيۡءٖ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فِي ٱلسَّمَآءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah.”

Surah Ibrahim: 38

  • Hidup ini bukanlah menyesali apa yang telah pergi, tetapi tentang menghargai apa yang kita miliki serta sabar menanti apa yang akan menghampiri.
  • Semoga Allah SWT menunaikan segala hajat kita, memberkati kehidupan, mengampunkan segala dosa serta mengizinkan para malaikat mencatat nama kita dalam senarai daftar hambaNya yang diredhai.

Sedekah Bukti Cinta Kepada Allah SWT

Firman Allah SWT:

لَن تَنَالُواْ ٱلۡبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُواْ مِمَّا تُحِبُّونَۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٞ

Maksudnya: “Kamu tidak akan sama sekali dapat mencapai kebaikan (yang sempurna) sehingga kamu infakkan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa jua yang kamu infakkan.”

Surah Ali-Imran: 92

  • Semoga sedekah yang telah kita infakkan mendatangkan kebaikan dan tetapkanlah niat kita bersedekah hanya kerana Allah SWT.

Doa Mohon Dilindungi Dari Gangguan Syaitan

Firman Allah SWT:

رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحۡضُرُونِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu daripada hasutan syaitan-syaitan. Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak mendekatiku.”

Surah Al-Mukminun: 97-98

  • Syaitan tidak akan mencuri harta, wang, kenderaan dan kedudukan kita. Tetapi ia berusaha mencuri IMAN dan TAQWA yang kita miliki kerana ia tahu yang paling berharga pada manusia adalah imannya. Sebab itu syaitan amat rajin berusaha sesatkan manusia.
  • Mari teruskan berdoa dan berusaha. Moga Allah SWT melindungi diri kita bersama.