Doa Memohon Kesembuhan Dari Penyakit

Firman Allah SWT:

أَنِّي مَسَّنِيَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرۡحَمُ ٱلرَّحِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah Yang Maha Pengasih daripada segala (yang lain) yang mengasihani.”

Surah al-Anbiyaa: 83

  • Andai hari ini Allah beri rasa sakit, bersabarlah kerana dengannya Allah gugurkan sebahagian dosa.
  • Jika hujan merupakan kesakitan dan matahari adalah kebahagiaan, maka kita perlukan keduanya agar dapat melihat pelangi.

Adab Menguap

Daripada Abu Hurairah RA, Daripada Nabi ﷺ bersabda:

إنَّ اللَّهَ يُحِبُّ العُطاسَ، ويَكْرَهُ التَّثاؤُبَ، فإذا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ، فَحَقٌّ علَى كُلِّ مُسْلِمٍ سَمِعَهُ أنْ يُشَمِّتَهُ، وأَمَّا التَّثاؤُبُ: فإنَّما هو مِنَ الشَّيْطانِ، فَلْيَرُدَّهُ ما اسْتَطاعَ، فإذا قالَ: ها، ضَحِكَ منه الشَّيْطانُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan tidak menyukai menguap. Apabila seseorang bersin hendaklah dia memuji Allah. Merupakan satu tanggungjawab ke atas setiap Muslim yang mendengarnya untuk mendoakan kerahmatan untuknya. Adapun menguap, sesungguhnya ia daripada syaitan. Hendaklah seseorang menahannya semampu mungkin. Apabila dia mengeluarkan bunyi ‘Haa’, syaitan akan mentertawakannya.”

Riwayat al-Bukhari, 6223

  • Bersin adalah daripada Allah SWT dan menguap adalah daripada syaitan.
  • Apabila seseorang menguap, hendaklah dia meletakkan tangan di atas mulutnya.

Doa Mohon Keampunan

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسۡرَافَنَا فِيٓ أَمۡرِنَا وَثَبِّتۡ أَقۡدَامَنَا وَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَٰفِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, teguhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir”.

Surah Ali-Imraan: 147

  • Sekelam manapun masa silam kita, selagi masih bernyawa, kita tetap berpeluang menjadi ahli syurga. Jangan pernah berputus asa untuk berubah demi mencari keampunan Ilahi.

Ringan Di Lisan, Berat Di Timbangan

Dari Abu Hurairah RA, dia berkata, Nabi ﷺ bersabda;

كَلِمَتَانِ حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ ، خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ، ثَقِيلَتَانِ فِى الْمِيزَانِ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ

Maksudnya: “Dua kalimat yang dicintai oleh Ar Rahman, ringan diucapkan di lisan, namun berat dalam timbangan (amalan) iaitu subhanallahi wa bihamdih, subhanallahil ‘azhim (Maha Suci Allah, segala pujian untuk-Nya. Maha Suci Allah Yang Maha Mulia).”

Riwayat al-Bukhari, 7563

Doa Agar Diberi Bimbingan Selesaikan Masalah

Firman Allah SWT:

رَّبِّ أَدۡخِلۡنِي مُدۡخَلَ صِدۡقٖ وَأَخۡرِجۡنِي مُخۡرَجَ صِدۡقٖ وَٱجۡعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلۡطَٰنٗا نَّصِيرٗا

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah aku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah aku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”

Surah Al-Israa: 80

  • Rasulullah ﷺ membaca doa ini ketika berhadapan tekanan hebat dari kafir Quraisy Mekah.
  • Oleh itu, cubalah amalkan doa ini dengan Taqwa dan keyakinan tinggi kepadaNya. Bacalah ia dengan hati yang Tawadhuk dan berharap tinggi kepadaNya.
  • Hadiah tidak semestinya terbungkus indah. Terkadang Tuhan membalutinya dengan masalah tetapi di dalamnya tersimpan sejuta hikmah dan berkah.

Doa Dalam Diam

Daripada Safwan bin Abdillah RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Maksudnya: “Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”.

(Riwayat Muslim, 4914)

  • Islam sangat menggalakkan setiap umatnya agar sentiasa berdoa kepada saudaranya.
  • Kita dituntut untuk mendoakan perkara-perkara kebaikan kepada saudara kita.
  • Doa seorang hamba tanpa pengetahuan saudaranya adalah mustajab di sisi Allah SWT.
  • Setiap apa yang kita doakan, Allah SWT juga akan mengurniakan kepada kita sama seperti yang kita doakan.

Doa Dilapangkan Dada Dan Dipermudahkan Urusan

Firman Allah SWT:

رَبِّ ٱشۡرَحۡ لِي صَدۡرِي وَيَسِّرۡ لِيٓ أَمۡرِي وَٱحۡلُلۡ عُقۡدَةٗ مِّن لِّسَانِي يَفۡقَهُواْ قَوۡلِي

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku. Dan permudahkanlah tugasku. Dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku. Supaya mereka faham perkataanku.

(Surah TaaHaa: 25-28)

  • Allah SWT telah merakam doa yang Nabi Musa a.s lafazkan di dalam Surah TaaHaa, ayat 25-28. Tujuannya untuk membimbing kita. Mana tahu, jika kita sedang berhadapan masalah sama, ada juga doa yang boleh dibaca.
  • Amalkan doa ini. Semoga urusan kita dipermudahkan dan kata-kata tersusun lancar.

Zikir Penghapus Dosa Sebanyak Buih Di Lautan

Daripada Abu Hurairah, daripada Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ سَبَّحَ اللَّهَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَحَمِدَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَكَبَّرَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ فَتْلِكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَقَالَ تَمَامَ الْمِائَةِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ غُفِرَتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Maksudnya: “Barang siapa bertasbih kepada Allah selepas solat sebanyak 33 kali, dan bertahmid kepada Allah 33 kali, dan bertakbir kepada Allah 33 kali, hingga semuanya berjumlah 99,” dan baginda menambah: “Kesempurnaan 100 adalah membaca: Laa ilaaha illallah wahdahu laa syariika lahu, lahul mulku walahul walahul hamdu wahuwa ‘alaa kulli syai’in qadiir, maka kesalahannya akan diampunkan walau sebanyak buih di lautan.”

(Riwayat Muslim, 597)

  • Antara amalan yang digalakkan selepas solat fardu ialah membaca Tasbih (Subhaanallah) sebanyak 33 kali, Tahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan Takbir (Allahu Akbar) sebanyak 33 kali.
  • Bagi menjadikan zikir tersebut sempurna, zikir terakhir (ke 100) dibaca sekali:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

  • Sesiapa yang menyempurnakan zikir di atas dengan ikhlas, dosanya akan diampunkan walaupun sebanyak buih di lautan (dosa kecil).
  • Semoga kita istiqamah untuk mengamalkan zikir selepas solat fardhu.

Bisikan-Bisikan Kebaikan

Firman Allah SWT:

لَّا خَيۡرَ فِي كَثِيرٖ مِّن نَّجۡوَىٰهُمۡ إِلَّا مَنۡ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوۡ مَعۡرُوفٍ أَوۡ إِصۡلَٰحِۭ بَيۡنَ ٱلنَّاسِۚ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ ٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِ ٱللَّهِ فَسَوۡفَ نُؤۡتِيهِ أَجۡرًا عَظِيمٗا

Maksudnya: Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan daripada orang yang menyuruh bersedekah atau melakukan kebaikan atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Sesiapa yang melakukan demikian kerana mencari keredaan Allah, maka Kami akan memberinya ganjaran yang hebat.

Surah An-Nisaa: 114

Menjaga Hak Sesama Muslim

Bahawa Abdullah bin Umar RA mengkhabarkannya Rasulullah ﷺ bersabda:

الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَة

Maksudnya: “Seorang muslim saudara terhadap sesama muslim, tidak boleh menganiaya dan tidak akan membiarkan muslim lain dianiaya. Siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Siapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan siapa yang menutup aib seorang muslim di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat. “

Riwayat al-Bukhari, 2442