Perumpaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Daripada Abu Musa al-Asyaari RA, Baginda SAW bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالأُتْرُجَّةِ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ، وَالَّذِي لاَ يَقْرَأُ كَالتَّمْرَةِ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلاَ رِيحَ لَهَا، وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الرَّيْحَانَةِ، رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ، وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الْحَنْظَلَةِ، طَعْمُهَا مُرٌّ وَلاَ رِيحَ لَهَا ‏‏‏.

‏Maksudnya: “Perumpamaan orang yang beriman yang membaca al-Qur’an ialah seperti buah Utrujah (buah limau) , yang baik rasanya dan baik baunya. Dan perumpamaan orang yang beriman yang tidak membaca Al-Quran adalah seperti buah tamar (kurma), mempunyai rasa yang baik tetapi tidak berbau. Dan perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Qur’an ialah seperti buah Raihanah (kemangi), yang baik baunya tetapi pahit rasanya. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Qur’an adalah seperti buah Hanzalah (labu pahit), pahit rasanya dan tiada apa-apa bau. “

Riwayat al-Bukhari (5020)

  • Membudayakan pembacaan al-Quran adalah suatu amalan yang sangat dituntut. Allah SWT menjanjikan kepada orang yang membaca al-Quran ini dengan pelbagai ganjaran dan darjat yang tinggi.

Masa Terasa Singkat Di Akhir Zaman

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ العِلْمُ، وَتَكْثُرَ الزَّلاَزِلُ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ، وَتَظْهَرَ الفِتَنُ، وَيَكْثُرَ الهَرْجُ

Maksudnya: “Tidak akan berlakunya Kiamat sehingga diangkat ilmu, banyaknya berlaku gempa, masa berlalu dengan pantas, terzahirnya fitnah-fitnah dan banyaknya pembunuhan.”

Riwayat al-Bukhari (1036)

  • Imam Al-Nawawi mengatakan maksud masa berlalu dengan begitu pantas adalah disebabkan keberkatan masa telah hilang dalam kehidupan kita. Banyak masa-masa dalam sehari dihabiskan dengan perkara yang tidak manfaat.
  • Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa meningkatkan amalan soleh dan memanfaatkan masa dengan sebaiknya agar dengan sebab itu Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya di dunia dan Akhirat

Dua Iri Hati Yang Dibenarkan Di Dalam Islam

Daripada Abdullah Bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ حَسَدَ إِلاَّ عَلَى اثْنَتَيْنِ، رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَقَامَ بِهِ آنَاءَ اللَّيْلِ، وَرَجُلٌ أَعْطَاهُ اللَّهُ مَالاً فَهْوَ يَتَصَدَّقُ بِهِ آنَاءَ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ

Maksudnya: Tidak dibenarkan iri hati melainkan terhadap 2 jenis orang iaitu; Orang yang diberi kepandaian oleh Allah SWT dalam hal Al-Quran, lalu dia membacanya pada waktu malam dan waktu siang. Dan orang yang dikurniakan Allah SWT akan harta lalu ia menginfaqkannya pada waktu malam dan siang.

Riwayat al-Bukhari (5025)

Tiga Amalan Yang Terus Mengalir Pahalanya

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak soleh yang mendoakannya.”

Riwayat Muslim (1631)

Tiga Golongan Mustajab Doa

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ

Maksudnya: “Ada tiga jenis doa yang akan dikabulkan yang tidak ada keraguan padanya; doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang bermusafir, dan doa orang tua untuk anaknya.”

Riwayat at-Tirmizi (1905)

Jangan Memandang Mudah Dosa Kita Terhadap Orang Lain

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ  قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ  إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ  وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ

Maksudnya: Barangsiapa pernah melakukan kesalahan terhadap saudaranya, sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta dihalalkan kepadanya hari ini (di dunia) sebelum datang suatu hari yang sudah tidak ada lagi dinar dan dirham (hari Kiamat). Ketika itu, jika dia memiliki amalan soleh, amalan solehnya diambil darinya dan diserahkan kepada saudaranya sesuai dengan kadar pelanggaran yang pernah diperbuatnya. Namun, jika dia tidak memiliki amal-amal kebaikan, kesalahan-kesalahan saudaranya itu diambil, lalu dipikulkan kepadanya.

Riwayat al-Bukhari (6534)

Hindari Kelalaian Duniawi

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَا لَعِبٞ وَلَهۡوٞۚ وَإِن تُؤۡمِنُواْ وَتَتَّقُواْ يُؤۡتِكُمۡ أُجُورَكُمۡ وَلَا يَسۡـَٔلۡكُمۡ أَمۡوَٰلَكُمۡ

Maksudnya: Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan hiburan. Jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan kamu pahala amalan kamu dan Dia tidak meminta harta-benda kamu.

Surah Muhammad: Ayat 36

  • Kita perlu ingat bahawa kehidupan dunia adalah bersifat sementara, manakala kehidupan akhirat adalah bersifat hakiki.
  • Walaupun kehidupan dunia bersifat sementara tetapi Islam membenarkan umatnya mencari kehidupan dengan panduan tertentu bagi menikmati alam ciptaan Allah SWT ini.
  • Di samping menikmati kurniaan Allah SWT itu, janganlah sampai kita mengabaikan perintah dan suruhanNya.

Wuduk Yang Sempurna Dapat Menghapuskan Dosa

Daripada Uthman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ خَرَجَتْ خَطَايَاهُ مِنْ جَسَدِهِ حَتَّى تَخْرُجَ مِنْ تَحْتِ أَظْفَارِهِ ‏

Maksudnya: “Barangsiapa yang berwuduk kemudian dia memperbaguskan wuduknya, maka keluarlah kesalahan-kesalahannya dari tubuhnya sehingga keluarnya itu sampai dari bawah kuku-kukunya.”

HR Muslim (245)

Jangan Marah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصِنِي قَالَ لَا تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ لَا تَغْضَب

Daripada Abu Hurairah RA bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi ﷺ: “Berilah aku wasiat?” baginda bersabda: “Janganlah kamu marah.” Lelaki itu mengulangi pertanyaannya, baginda tetap menjawab: “Janganlah kamu marah.”

Sahih Riwayat al-Bukhari (6116)

  • Sifat marah adalah punca berbagai kejahatan, dan menahan diri darinya adalah punca segala kebaikan.
  • Marah akan menimbulkan perbuatan yang diharamkan seperti memukul, menyakiti orang, mengeluarkan perkataan-perkataan yang kesat dan pelbagai bentuk kezaliman termasuk mencedera dan membunuh.
  • Semoga kita semua dapat mengawal sifat marah yang diwasiatkan oleh Rasulullah ﷺ.

Semua Takdir Itu Baik

Daripada Anas Bin Malik RA, daripada Rasulullah SAW bersabda:

عجبْتُ للمُؤْمِنِ إنَّ اللهَ تعالى لَا يَقْضِي للمؤمِنِ قضاءً إلا كان خيرًا لَهُ

Maksudnya: ” Aku begitu takjub pada seseorang mukmin. Sesungguhnya Allah tidaklah menakdirkan sesuatu untuk seorang mukmin melainkan pasti itulah yang terbaik untuknya.”

Riwayat Ahmad (12906)

  • Hidup di dunia adalah sebuah perjalanan, bukan perbandingan. Jangan kita bandingkan kehidupan kita dengan kehidupan orang lain. Kerana kita hidup di bumi yang sama, tapi dengan takdir yang berbeza.
  • Terima apa yang sudah terjadi, ikhlaskan apa yang tidak boleh diubah dan perbetulkan apa yang masih boleh diperbaiki.