Dunia atau Akhirat

Firman Allah SWT:

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرۡثَ ٱلۡأٓخِرَةِ نَزِدۡ لَهُۥ فِي حَرۡثِهِۦۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرۡثَ ٱلدُّنۡيَا نُؤۡتِهِۦ مِنۡهَا وَمَا لَهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ

Maksudnya: Sesiapa yang mahukan keuntungan di akhirat, Kami akan tambahkan keuntungan itu baginya dan sesiapa yang mahu keuntungan di dunia semata-mata, Kami berikan kepadanya sebahagian daripada (keuntungan itu), tetapi dia tidak akan mendapat bahagian di akhirat kelak.

Surah Ash-Shura: Ayat 20

  • Kita di galakkan untuk mencari pahala akhirat dan kita juga di galakkan untuk mencari kebahagiaan hidupan di dunia, hidup mesti seimbang antara dunia dan akhirat.
  • Andai kita meminta air pasti mendapat cawannya, tetapi andai kita meminta cawan sahaja, belum tentu kita mendapat airnya.
  • Begitu juga andai kita mencari akhirat pasti mendapat dunianya sekali. Akan tetapi, andai kita mencari dunia, belum tentu kita mendapat akhirat.

Sifat Bermuka-Muka

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنْ شَرَّ النَّاسِ ذُو الْوَجْهَيْنِ، الَّذِي يَأْتِي هَؤُلاَءِ بِوَجْهٍ وَهَؤُلاَءِ بِوَجْهٍ

Maksudnya: “Sejahat-jahat manusia adalah mereka yang memiliki dua wajah. Dia datang kepada orang lain dengan wajah yang lain, dan dia pergi kepada orang lain dengan wajah yang lain pula.”

Riwayat al-Bukhari (7179)

  • Orang yang bermuka-muka adalah orang yang menyembunyikan apa yang ada di dalam hatinya ketika bertemu dengan seseorang atau sekelompok orang yang dia musuhi dengan mengatakan perkataan atau sikap yang berbeza dengan apa yang disimpan dalam hatinya.
  • Moga Allah menjauhkan kita dari sifat bermuka-muka dan munafik.

Tiga Amalan Yang Sangat Disukai Oleh Allah SWT

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, beliau berkata; aku bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan amalan apakah yang paling disukai oleh Allah, lalu baginda menjawab:

الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا ‏”‏‏.‏ قَالَ ثُمَّ أَىُّ قَالَ ‏”‏ ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ ‏”‏‏.‏ قَالَ ثُمَّ أَىُّ قَالَ ‏”‏ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏”‏‏.‏ قَالَ حَدَّثَنِي بِهِنَّ وَلَوِ اسْتَزَدْتُهُ لَزَادَنِي‏.‏

Maksudnya: “Solat pada waktunya”. Dia (perawi) bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda “berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Dia bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda “Jihad pada jalan Allah SWT”.

Sahih Riwayat al-Bukhari (527)

Berkatalah Benar

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ؛ فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ، وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَكْذِبُ وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّابًا

Maksudnya: Jauhilah kalian daripada sikap suka berbohong kerana berbohong akan membawa kepada perbuatan kemaksiatan, dan perbuatan kemaksiatan akan membawa ke Neraka. Jika sekiranya seseorang itu sentiasa berdusta, maka kelak dia akan dicatat di sisi Allah SWT sebagai pendusta.

Riwayat al-Bukhari (6094)

Tujuh Dosa Besar

Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi ﷺ bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ

Maksudnya: “Jauhilah tujuh dosa yang membinasakan. Para sahabat bertanya: wahai Rasulullah, apakah ia? Rasulullah menjawab, ‘Syirik terhadap Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari ketika peperangan, menuduh wanita baik-baik berzina.’”

Riwayat al-Bukhari (2760)

  • Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada segala dosa besar serta mengurniakan petunjuk dan kekuatan dalam melaksankan titah perintah-Nya.

Berdoalah Ketika Ayam Berkokok

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ، فَإِنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا، وَإِذَا سَمِعْتُمْ نَهِيقَ الحِمَارِ فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَإِنَّهُ رَأَى شَيْطَانًا

Maksudnya: “Jika kamu mendengar ayam berkokok maka mohonlah kepada Allah SWT akan kurniaan-Nya, kerana ia (ayam) melihat malaikat. Dan apabila kamu mendengar bunyi (suara) keldai maka mohon perlindunganlah kepada Allah SWT daripada Syaitan, kerana ia (keldai) sedang melihat syaitan”.

Riwayat al-Bukhari (3303)

  • Para ulama’ memahami makna hadith ini bahawa kita diminta untuk berdoa kepada Allah SWT ketika mendengar bunyi ayam berkokok serta dalam masa yang sama kita juga mengharapakan agar para malaikat mengaminkan doa kita dan istighfar para malaikat kepada kita.
  • Semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang cintakan ilmu serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini.

Doa Memohon Perlindungan

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَىْءٌ فِي الأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang bila disebut, segala sesuatu di bumi atau di langit tidak boleh memberi mudarat dan Dialah zat Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Riwayat Abu Daud (5088)

  • Doa ini hendaklah diamalkan dengan yakin sepenuhnya hanya kepada Allah SWT sebagai pelindung diri kita dan tidak akan datang apa-apa mudarat pun kecuali yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
  • Jom sama-sama kita amalkan. Insya Allah.

Mendoakan Orang Yang Melakukan Kebaikan

Daripada Usamah bin Zayd RA berkata, Rasulullah ﷺ berpesan dalam sabdanya:

مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوْفٌ، فَقَالَ لِفَاعِلِهِ: جَزَاكَ اللهُ خَيْرًا، فَقَدْ أَبْلَغَ فِيْ الثَّنَاءِ

Maksudnya: Sesiapa yang diperlakukan kepadanya sesuatu kebaikan, maka ucapkanlah kepada orang yang melakukan kebaikan kepada kamu dengan ungkapan: (Jazakallahu Khairan) “Semoga Allah membalasnya dengan segala kebaikan”. Maka sesungguhnya dia telah menerima pujian yang terbaik.

Riwayat Al-Tirmizi (2035)

  • Mengucapkan ucapan yang baik kepada orang yang berbuat baik kepada kita adalah sebahagian daripada ajaran Islam.
  • Ucapan (Jazakallahu Khairan) adalah ucapan yang paling baik kerana ia disebut oleh Rasulullah ﷺ sebagai suatu doa yang cukup dapat membalas kebaikan seseorang.

Baik Terhadap Jiran

Daripada Abi Syuraih RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.”

Riwayat Muslim (48)

  • Semoga Allah SWT menjadikan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa berlaku baik kepada jiran serta memasukkan kita ke dalam syurga di akhirat nanti.

Maniskan Wajahmu

Daripada Abu Dhar Al-Ghifari RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:

تَبَسُّمُكَ فِي وَجْهِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ وَأَمْرُكَ بِالْمَعْرُوفِ وَنَهْيُكَ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ وَإِرْشَادُكَ الرَّجُلَ فِي أَرْضِ الضَّلاَلِ لَكَ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, amar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah”

Riwayat Al-Tirmizi (1956)

  • Jom sama-sama kurangkan manis dalam minuman, lebihkan manis dalam senyuman.