Yasin dan kahfi kedua-duanya adalah antara surah dalam quran. Dituntut dan mendapat pahala bila membacanya.
Kita tidak diajar untuk membeza-bezakan surah-surah yang ada dalam quran.
Bahkan digalakkan khatam quran sebulan sekali atau 20 hari sekali atau 10 hari sekali atau seminggu sekali dan jangan kurang dari 7 hari sebab Nabi ﷺ larang.
Namun, timbul persoalan kerana kadang-kadang ada ayat atau surah yang terdapat kelebihan dan saranan hari tertentu dalam membacanya.
Kebiasaan kita, bila tiba hari khamis malam jumaat maka pilihan surah yang kita selalu pilih untuk dibaca adalah yasin.
Persoalannya, betul ke kena baca yasin setiap malam jumaat?
Jadi untuk memastikannya, perlulah ada bukti yang menyokong saranan ini.
Jadi kita tengok apakah ada hadis atau amalan Nabi ﷺ dan sahabat baca pada hari khamis malam jumaat yasin ini?
Rupa-rupanya memang ada banyak hadis tentang kelebihan membaca yasin. Terdapat lebih kurang 10 hadis tentang fadilat yasin.
Cuma semua hadis tersebut dalam kategori lemah dan palsu. Tak cukup bukti untuk menjadikan yasin yang dibaca pada khamis malam jumaat adalah dituntut.
Habis tu kahfi pula macam mana?
Surah kahfi pula memang terdapat beberapa hadis yang menyarankan dibaca pada hari jumaat. Sama ada khamis malam jumaat atau pagi jumaat.
Dan hadis kahfi ini pula dalam kategori sahih dan hasan. Cukup syarat untuk jadi bukti.
Contohnya, dari hadis Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu.
Beliau kata:
مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ فِيمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيقِ
“Barangsiapa yang membaca surat Al-Kahfi pada malam Jumaat, ia akan diterangi dengan cahaya di antara ia dengan Ka’bah.” (Hadis sahih, HR Ad-Darimi)
Satu lagi hadis dari beliau juga, katanya Nabi ﷺ kata:
إِنَّ مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الْجُمُعَتَيْنِ
“Sesungguhnya barangsiapa yang membaca surat Al-Kahfi di hari Jumaat, ia akan diterangi dengan cahaya di antara dua Jumaat.” (Hadis hasan, HR. Al-Hakim no. 3392, Al-Baihaqi no. 5996.)
Dua hadis ni memadai sebagai bukti yang konkrit untuk baca surah kahfi pada khamis malam jumaat atau pada pagi dan siang jumaat.
Dan jelas juga ada fadilat berkaitan cahaya yang Allah berikan kepada pembacanya pada hari tersebut.
Iaitu cahaya antara kita dengan kaabah dan juga cahaya dua kali jumaat.
Kalau nak lebih yakin lagi, Imam Syafie rahimahullah pernah kata:
بلَغَنَا أَنَّ من قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ وُقِيَ فِتْنَةُ الدَّجَّالِ، وَأُحِبُّ كَثْرَةَ الصَّلَاةِ على النبي (صلى اللَّهُ عليه وسلم) في كل حَالٍ وأنا في يَوْمِ الْجُمُعَةِ وَلَيْلَتِهَا أَشَدُّ اسْتِحْبَابًا، وَأُحِبُّ قِرَاءَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ وَيَوْمَهَا لِمَا جاء فيها
“Telah sampai dalil kepadaku bahwa orang yang membaca surat Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal. Dan aku menyukai (seseorang itu) memperbanyak selawat kepada Nabi shallallahu ’alaihi wasallam di setiap waktu. Dan pada hari Jumaat serta malam Jumaat, lebih ditekankan lagi anjurannya. Dan aku juga menyukai (menganjurkan) seseorang untuk membaca surat Al-Kahfi pada malam Jumaat dan pada hari Jumaat karena terdapat dalil mengenai hal ini.” (Kitab al-Umm, jilid 1 hlm. 208)
Pendek kata, hanya surah kahfi yang boleh kita baca secara tetap setiap minggu pada hari jumaat untuk mengejar fadilat.
Ada pun surah yasin eloklah dibaca mengikut masa kita tanpa menetapkan harinya.
Jika terbaca yasin pada hari jumaat pun tiada masalah asalkan jangan menetapkannya setiap jumaat seperti kahfi.