Adalah sunnah berpuasa enam di bulan syawal. Sama ada dilakukan berturutan harinya atau berselang seli selagi dalam bulan syawal.
Fadilatnya besar, pahala macam setahun berpuasa. Kata Nabi ﷺ:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
“Barangsiapa yang puasa Ramadan lalu mengikutinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka ia mendapat pahala puasa setahun penuh” (HR. Muslim no. 1164).
Tapi selalu timbul beberapa isu dan persoalan popular bila nak puasa enam ini.
antaranya soalan yang Pertama, boleh ke gabung niat puasa enam dengan puasa sunat yang lain?
seperti puasa isnin, khamis dan puasa ayyamul bidh (puasa 3 hari setiap bulan hijrah).
Jawapannya boleh dan sah. Bahkan kita mendapat dua pahala dengan sekali puasa sahaja. Kerana tiada khilaf dikalangan ulama bab ini.
Soalan yang Kedua, boleh ke nak puasa syawal dulu sebelum qadha?
Ini pun boleh tiada masalah. Buktinya Aisyah Radhiyallahu ‘anha berkata:
كَانَ يَكُونُ عليَّ الصَوم مِن رَمَضَان فَمَا أَستَطِيعُ أَن أَقضِي إلَّا
فِي شَعبَان
“Aku pernah memiliki hutang puasa Ramadan, dan aku tidak boleh menunaikannya hingga di bulan Sya’ban“.
Bukti ini menunjukkan dua kefahaman bahawa Aisyah Radhiyallahu ‘anha isteri Nabi ﷺ pernah menangguhkan dan tidak menyegerakan puasa qadha yang wajib tersebut.
Dan kefahaman yang kedua boleh difahami bahawa tiada masalah untuk berpuasa mana-mana puasa sunat walaupun hutang puasa qadha yang wajib tidak diselesaikan dulu.
Soalan yang Ketiga pula, boleh ke gabung niat puasa enam yang sunat dengan puasa ganti atau qadha yang wajib ini ?
Inilah soalan yang sering jawapan ramai ustaz dan ustazah berikan berbeza. Ada yang kata boleh ada yang kata tak boleh.
Jadi mana satu nak pilih?
Jawapannya pilihlah yang paling rajih iaitu yang paling kuat buktinya.
Namun jika diperhalusi antara pendapat-pendapat ulama dikalangan yang membolehkan gabung niat dengan yang tidak membolehkan ternyata bukti yang rajih dan terkuat dalam hal ini adalah yang tidak dibolehkan menggabung niat puasa sunat dengan puasa yang wajib.
Mana mungkin perkara wajib dapat dilunaskan dengan yang sunat. Jika semudah itu, maka banyak perkara ibadat yang wajib selain puasa pun boleh digabungkan untuk melunaskan yang wajib.
Apakah solat subuh tertunai jika kita niatkan ia dalam solat sunat qabliyah?
Apakah zakat kita selesai dengan mana-mana sedekah dan derma yang kita lakukan pada orang lain di atas niat zakat?
Pendek kata amal ibadat yang wajib ia kekal kukuh berdiri sendiri mengikut niat tertentu, tatacara tersendiri dan ada waktunya tanpa keperluan gabungan dari amalan yang sunat.
Memang amalan sunat menampung kekurangan pahala dari amalan wajib yg kita lakukan. Sebab itu agama menjadikan puasa syawal adalah sunat supaya dapat menampung kekurangan puasa ramadan kita.
Namun, untuk membolehkan ia digabungkan tiada lagi hujah yang kuat dapat memansuhkan kekuatan bukti pendapat yang mengatakan tidak boleh ia digabungkan.
Jadi, kuatkan iman dan azam kita dengan kekal berpuasa enam kemudian ikutilah puasa qadha mana-mana puasa wajib yang tertinggal jika syawal sudah nak habis.
Atau dulukanlah yang wajib kemudian ikutilah dengan puasa enam sekiranya syawal masih panjang.