Sabda Rasulullah ﷺ dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu (dengan tangan), maka dengan lisannya. Sekiranya dia tidak mampu juga (dengan lisan), maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.
Riwayat Muslim (49)
- Sebagai manusia, seseorang itu sudah pasti tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, dosa, dan maksiat. Inilah hakikat dan lumrah seorang manusia yang penuh dengan kekurangan, kelemahan, dan ketidaksempurnaan.
- Hadis ini merupakan perintah utama dalam agama Islam iaitu menyuruh berbuat perkara makruf dan melarang berbuat perkara mungkar. Ia adalah perkara penting kerana dengan perintah inilah Allah SWT mengutuskan para Rasul dan Nabi. Sekiranya Allah tidak melakukannya atau membiarkannya, pasti terputuslah perutusan agama Islam di muka bumi ini. Agama akan lenyap jika tiadanya penyeruan kepada kebaikan dan pencegahan daripada kemungkaran.
- Semoga Allah kurniakan kepada kita kekuatan dalam melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar dengan penuh hikmah dan kebenaran.