Tidur Sebelah Kanan Atau Kiri?

Tidur mengiring sebelah kanan lebih mudah terjaga. Ulama menjelaskan bahawa tidur mengiring sebelah kanan tidak nyenyak berbanding sebelah kiri.

Ini kerana hati (jantung) manusia tergantung di sebelah kiri dan sekiranya seseorang itu tidur mengiring sebelah kirinya nescaya tidurnya akan nyenyak kerana merasa senang dan enak.

Berbeza jika tidur mengiring sebelah kanan. Orangnya akan merasa tidak selesa lalu tidak akan tidur lena kerana hati merasa gusar.

Inilah rahsia di sebalik mengapa Rasulullah ﷺ seusai mengerjakan solat sunat dua rakaat sebelum fardu Subuh baginda ﷺ berbaring mengiring sebelah kanannya menantikan bilal datang mengumandangkan iqamat solat Subuh.

Kata Aisyah radiallahuanha:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى رَكْعَتَيِ الْفَجْرِ ‌اضْطَجَعَ ‌عَلَى ‌شِقِّهِ الْأَيْمَنِ.

“Nabi ﷺ apabila selesai solat dua rakaat (sunat) Subuh baginda berbaring mengiring sebelah kanannya.” [Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Kata Ibnu al-Qayyim:

“Ada rahsia di sebalik perbuatan baginda ﷺ baring mengiring sebelah kanannya. Ini kerana hati (jantung) manusia tergantung di sebelah kiri dan sekiranya seseorang itu tidur di sebelah kirinya nescaya tidurnya akan nyenyak kerana merasa senang dan enak. Adapun sekiranya seseorang itu tidur di sebelah kanannya maka dia akan merasa tidak selesa lalu tidak akan dapat tidur lena kerana hatinya merasa gusar.”

[Zad al-Ma’ad, 1/377]

Inilah barangkali rahsia mengapa Nabi ﷺ menganjurkan umatnya supaya berbaring mengiring sebelah kanan agar tidur tidak terlalu nyenyak dan lebih mudah bangun terutamanya untuk mengerjakan solat fardu Subuh pada waktunya.