Dahulukan Yang Kanan

Daripada ‘Aisyah R.Anha berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ فِي شَأْنِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW membiasakan diri mendahulukan yang kanan dalam memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap urusan kehidupan sehariannya.

Sahih Riwayat al-Bukhari (168)

Hidup Terasa Kosong Bila Tidak Membaca Al-Quran

Daripada Ibnu Abbas RA berkata, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ الَّذِي لَيْسَ فِي جَوْفِهِ شَيْءٌ مِنَ الْقُرْآنِ كَالْبَيْتِ الْخَرِبِ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang dalam hatinya tidak ada sesuatu apa pun dari Al-Quran, maka dia adalah seperti rumah yang kosong.”

Riwayat At-Tirmidzi (2913)

Pesan Rasulullah ﷺ Ketika Makan

عَنْ عُمَرَ بْنَ أَبِي سَلَمَةَ يَقُولُ: كُنْتُ غُلاَمًا فِي حَجْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا غُلاَمُ سَمِّ اللَّهَ وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ

Maksudnya: Daripada Umar bin Abi Salamah katanya: Sewaktu aku kecil di bawah jagaan Nabi ﷺ , tanganku sentiasa berlegar sekeliling talam (untuk mendapatkan makanan dan lauk). Nabi ﷺ berkata kepadaku: Wahai anak, sebut nama Allah (baca Bismillah), makan dengan tangan kananmu dan makanlah (ambillah makanan) yang hampir denganmu.

Riwayat Al-Bukhari (5376)

  • Islam mengajar kita agar sentiasa beradab dalam setiap perkara termasuklah ketika makan.
  • Antara adab makan dalam Islam: Memulakan dengan bacaan Basmallah (Bismillah), Makan menggunakan tangan kanan dan Mengambil makanan yang paling hampir dengan kita.

Sebaik-Baik Perhiasan Dunia

Daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi ﷺ pernah bersabda:

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏

Riwayat Muslim (1467)

  • Wahai wanita, tutuplah auratmu dengan pakaian takwa kerana dirimu begitu berharga sehinggakan Allah perintahkan untuk menutupi keindahan diri daripada sebarang pandangan. Bersederhanalah dalam memilih pakaian, rasa malu sebagai perhiasan, menjaga pandangan, menjaga lisan, menjaga kehormatan diri, takut berbuat dosa, menangis kerana Allah dan selalu panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana wanita solehah adalah penghuni yang akan menjadi dambaan syurga.

Bersedekah Ketika Kita Susah

Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah ﷺ: “Wahai Rasulullah, Apakah sedekah yang paling besar pahalanya?” Sabda Rasulullah ﷺ:

أَنْ تَصَدَّقَ وأَنْتَ صَحِيحٌ شَحِيحٌ تَخْشَى الفَقْرَ، وتَأْمُلُ الغِنَى، ولَا تُمْهِلُ حتَّى إذَا بَلَغَتِ الحُلْقُومَ

Maksudnya: “(Sedekah yang paling besar ganjarannya ialah) Engkau bersedekah ketika sihat sedangkan hatimu berasa sangat kedekut (untuk bersedekah), jiwamu sedang takutkan kemiskinan dan engkau bercita-cita mengharapkan kekayaan.”

Riwayat Al-Bukhari (1419)

Saidina Umar Al-Khattab dan Baitulmaqdis

Saidina Umar Al-Khattab menawan BaitulMaqdis pada tahun 637 M selama pemerintahannya sebagai Khalifah kedua Islam. Penaklukan ini merupakan perluasan wilayah Islam setelah kemenangan kaum Muslimin dalam Pertempuran Yarmouk. Ketika itu, Saidina Umar sedang berada di Madinah dan mendapat laporan bahawa tentara Islam telah sampai ke Baitulmaqdis.

Saidina Umar kemudian melakukan perjalanan ke Baitulmaqdis untuk menegakkan perjanjian damai dengan penduduk tempatan. Sebelum memasuki kota, baginda membersihkan dirinya dan memilih berjalan kaki sambil membawa tunggangan keldai, menunjukkan sikap rendah hati dan penuh tawadhu.

Ketika tiba di Baitulmaqdis, Saidina Umar diberikan kunci kota oleh Sophronius, Patriark Bizantium, yang kemudian mengundangnya untuk solat di Gereja Salib. Umar menolak tawaran tersebut, mengatakan bahawa jika dia solat di gereja itu, generasi Muslim berikutnya mungkin menyangka gereja itu sebagai tempat ibadah Islam.

Penaklukan Baitulmaqdis oleh Saidina Umar menjadi salah satu peristiwa  penting dalam sejarah Islam kerana menandakan kemenangan besar kaum Muslimin dan pembukaan kota suci ini. Penaklukan ini juga mencerminkan sikap toleransi dan penghormatan terhadap hak-hak minoriti agama yang diterapkan oleh pemimpin Muslim pada masa itu.

Peringkat-Peringkat Penciptaan Manusia

Firman Allah SWT:

يَخْلُقُكُمْ فِي بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ خَلْقًا مِّن بَعْدِ خَلْقٍ فِي ظُلُمَاتٍ ثَلَاثٍ ۚ

Maksudnya: “Ia menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) dari satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga suasana yang gelap-gelita”.

Surah Az-Zumar: Ayat 6

  • Sesungguhnya, Allah SWT telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian dijadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh. Kemudian Allah SWT ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Allah SWT ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian diciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Allah SWT balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Allah SWT bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya.
  • Tiga suasana yang gelap-gelita itu ialah; kegelapan dalam rahim, kegelapan dalam perut ibu dan kegelapan dalam tembuni.

Dosa Dihapus Seperti Buih Di Lautan

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ قَالَ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ‏.‏ فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ حُطَّتْ خَطَايَاهُ، وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ ‏

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca: Subhanallahi Wa Bihamdihi 100 kali dalam sehari, maka akan dihapuskan dosa kecilnya walaupun dosanya sebanyak buih di lautan.”

Riwayat Al-Bukhari (6405)‏‏

Amal Paling Utama

عَنْ أَبِي عَمْرٍو الشَّيْبَانِيِّ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِابْنِ مَسْعُودٍ أَيُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ قَالَ سَأَلْتُ عَنْهُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ الصَّلَاةُ عَلَى مَوَاقِيتِهَا قُلْتُ وَمَاذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَبِرُّ الْوَالِدَيْنِ قُلْتُ وَمَاذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَالْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Daripada Abu ‘Amru Asy Syaibani bahawa seorang lelaki berkata kepada Ibnu Mas’ud, “Amal apakah yang paling utama?” ia berkata; “Aku pernah bertanya Rasulullah SAW tentang hal itu, maka baginda pun menjawab: “Solat pada waktunya, ” aku bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, lalu apa lagi?” baginda menjawab: “Berbuat baik kepada kedua orang tua, ” aku bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, lalu apa lagi?” baginda menjawab: “Jihad di jalan Allah.”

Riwayat at-Tirmidzi (173)

Doa Agar Sentiasa Bersyukur

Firman Allah SWT:

رَبِّ أَوۡزِعۡنِيٓ أَنۡ أَشۡكُرَ نِعۡمَتَكَ ٱلَّتِيٓ أَنۡعَمۡتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَيَّ وَأَنۡ أَعۡمَلَ صَٰلِحٗا تَرۡضَىٰهُ وَأَدۡخِلۡنِي بِرَحۡمَتِكَ فِي عِبَادِكَ ٱلصَّٰلِحِينَ

Maksudnya: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah aku supaya tetap mensyukuri nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai, dan masukkanlah aku dalam golongan hamba- hambaMu yang soleh.

Surah An-Naml: Ayat 19