Jadilah Umpama Lebah

Rasulullah ﷺ mengumpamakan mukmin seperti lebah.

Dari Abdullah bin Amru bin al-As, Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ مَثَلَ الْمُؤْمِنِ لَكَمَثَلِ النَّحْلَةِ أَكَلَتْ طَيِّبًا وَوَضَعَتْ طَيِّبًا وَوَقَعَتْ فَلَمْ تُكْسَرْ وَلَمْ تَفْسُدْ

Maksudnya: “Sesungguhnya perumpamaan seorang mukmin adalah seperti lebah, ia makan yang baik-baik, mengeluarkan yang baik-baik, bila ia hinggap tidak membuat dahan patah dan rusak.”

HR Ahmad

  • Jadilah kita seperti lebah, mendapat sesuatu dari sumber yang baik, menggunakan dan menyumbang sesuatu yang baik dan bermanfaat kepada manusia.

Mendidik Anak Solat

Rasulullah ﷺ bersabda:

مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

Maksudnya: Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.

Riwayat Abu Daud: (495)

  • Menjadi tanggungjawab keatas setiap daripada ibu dan bapa untuk mendidik anak-anak mereka bagi mendirikan kesemua lima solat fardhu termasuklah solat Subuh yang mempunyai banyak kelebihannya.
  • Ibubapa dituntut untuk menyuruh anak-anak mereka yang belum baligh untuk mendirikan solat, khususnya solat Subuh bagi melatih mereka untuk terbiasa melaksanakannya. Manakala, bagi anak-anak yang berumur sepuluh tahun ke atas, maka hendaklah memukul mereka sekiranya mereka liat dan malas untuk menunaikan solat.
  • Ibubapa harus bijak untuk memberi galakan seperti memberikan hadiah dan pujian apabila anak berjaya mendirikan dan membiasakan diri dengan solat, bukan hanya sekadar memberi arahan dan menghukum.
  • Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang baik kepada kita terhadap agama untuk melaksanakan syariatNya dengan sebaiknya.

Doa Dikurniakan Kesabaran Melaksanakan Ketaatan

Firman Allah SWT:

رَبَّنَآ أَفۡرِغۡ عَلَيۡنَا صَبۡرٗا وَتَوَفَّنَا مُسۡلِمِينَ

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan matikanlah kami dalam keadaan Islam.

Surah Al-A’raaf: Ayat 126

Bacalah doa ini. Kemudian jangan lupa niatkan sekali semoga Allah SWT melindungi kita dari 3 perkara:

  • Memohon kepada Allah SWT bimbing niat kita agar sentiasa ikhlas melakukan ketaatan.
  • Memohon kepada Allah SWT pelihara kita dari dijangkiti sifat mazmumah ketika melakukan ketaatan.
  • Memohon kepada Allah SWT bantu kita agar tidak lalai, malas dan kurang khusyuk ketika mengerjakan ketaatan.

Apakah Pokok Yang Dilaknat Di Dalam Al-Quran ?

Firman Allah SWT:

وَإِذۡ قُلۡنَا لَكَ إِنَّ رَبَّكَ أَحَاطَ بِٱلنَّاسِۚ وَمَا جَعَلۡنَا ٱلرُّءۡيَا ٱلَّتِيٓ أَرَيۡنَٰكَ إِلَّا فِتۡنَةٗ لِّلنَّاسِ وَٱلشَّجَرَةَ ٱلۡمَلۡعُونَةَ فِي ٱلۡقُرۡءَانِۚ وَنُخَوِّفُهُمۡ فَمَا يَزِيدُهُمۡ إِلَّا طُغۡيَٰنٗا كَبِيرٗا

Maksudnya: Dan ketika Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmuNya dan kekuasaanNya); dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat (Zaqqum) di dalam al-Quran; dan Kami takutkan mereka (dengan pelbagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau.

Surah Al-Israa: Ayat 60

  • Pokok “Zaqqum” ialah pokok yang tumbuh dalam neraka dan buahnya menjadi makanan ahli neraka. Pokok ini juga menjadi ujian bagi manusia kerana orang-orang kafir tidak percaya bahawa ada pokok yang boleh hidup dalam api neraka.

Doa Mohon Dikabulkan Hajat Dalam Hati

Firman Allah SWT:

رَبَّنَآ إِنَّكَ تَعۡلَمُ مَا نُخۡفِي وَمَا نُعۡلِنُۗ وَمَا يَخۡفَىٰ عَلَى ٱللَّهِ مِن شَيۡءٖ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فِي ٱلسَّمَآءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatu pun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah.

Surah Ibrahim: Ayat 38

Adab Menyampaikan Berita

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi ﷺ:

إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا، يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.”

Riwayat al-Tirmizi (2314)

  • Dalam menyampaikan berita, seseorang itu mesti bertanggungjawab dalam segala ucapan dan penyampaiannya.
  • Oleh itu seharusnya berhati-hati dalam setiap aspek yang dilakukannya. Hal ini kerana Allah SWT memandang berat terhadap perbuatan ini dan Nabi ﷺ memperingati umatnya supaya berhati-hati di dalam menyampaikan sesuatu berita.

Doa Saat Berhadapan Dilema, Ingin Keputusan Terbaik

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا ٱفۡتَحۡ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَ قَوۡمِنَا بِٱلۡحَقِّ وَأَنتَ خَيۡرُ ٱلۡفَٰتِحِينَ

Maksudnya: ” Wahai Tuhan kami, berilah keputusan antara kami dengan kaum kami secara hak (keputusan terbaik) dan Engkaulah Tuhan Maha Pembuka & Pemberi keputusan sebaiknya”.

Surah Al-A’raf: Ayat 89

  • Acapkali Allah SWT tidak selalu bersetuju dengan perancangan kita. Namun, Alhamdulillah, perancangan yang Tuhan tentukan selalunya jauh lebih indah.

Sembunyikan Sedekahmu

Firman Allah SWT:

إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Yang bermaksud: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Surah al-Baqarah: 271

Larangan Membunuh Katak

Daripada Abdurrahman bin Uthman RA:

أَنَّ طَبِيبًا ذَكَرَ ضِفْدَعًا فِي دَوَاءٍ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَنَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِهِ

Maksudnya: Bahawa seorang perawat menyebut bahawa dia menggunakan katak dalam penyediaan ubatnya ketika dengan Rasulullah ﷺ. Lalu Baginda ﷺ menegahnya daripada membunuh katak.

Riwayat Abu Dawud (5269)

Abdullah bin Amru RA juga pernah menyebut:

لَا تَقْتُلُوا الضَّفَادِعَ فَإِنَّ نَقِيقَهَا تَسْبِيحٌ

Maksudnya: Janganlah kamu membunuh katak-katak kerana sesungguhnya bunyinya itu ialah tasbih.

Riwayat al-Baihaqi (19382)

  • Dalam Islam, hidup saling mengasihi bukan hanya untuk sesama manusia sahaja. Akan tetapi dengan haiwan juga harus melakukan perkara yang sama. Kerana semua makhluk di muka bumi ini adalah ciptaan Allah SWT yang sentiasa memuji-Nya.
  • Hadis di atas menyatakan bahawa Rasulullah ﷺ melarang umatnya daripada membunuh katak. Siapa sangka haiwan yang dianggap biasa itu mendapat tempat yang istimewa di sisi Baginda Rasulullah ﷺ.
  • Hadis lain juga menyatakan bahawa bunyi katak yang kita dengar adalah tasbih. Inilah antara sebab kita dilarang untuk membunuh katak.